PUTRAJAYA GANTUNG BIRO TATA NEGARA

AKTIVITI Biro Tata Negara (BTN) digantung sementara rombakan menyeluruh diambil ke atas silibus, tenaga kerja dan penstrukturan semula unit itu, kata ketua pengarahnya Ibrahim Saad.

Keputusan itu dibuat susulan kejayaan Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Umum ke-14, ketika ia berjanji mahu membubarkan BTN yang sejak bertahun-tahun dikritik kerana dakwaan menyebar ketuanan kaum terhadap kumpulan pelbagai etnik.

“Buat masa ini, semua aktiviti BTN digantung. Kami menunggu arahan selanjutnya dari Pejabat Perdana Menteri,” kata Ibrahim kepada The Malaysian Insight.

Ibrahim tidak menjelaskan bila BTN digantung tetapi berkata Putrajaya mungkin tidak mahu membubarkan sepenuhnya unit itu.

“Ia belum dimuktamadkan. Akan ada semakan terhadap tenaga kerja dan penstrukturan semula unit itu,” katanya.

Seorang lagi sumber perkhidmatan awam memberitahu The Malaysian Insight bahawa Putrajaya mahu menstrukturkan semula BTN dan bukannya membubarkannya, untuk meningkatkan produktiviti antara kakitangan awam.

“Mereka meneliti silibus Jepun untuk meningkatkan produktiviti. BTN patut digunakan sebagai wahana untuk mempertingkatkan perkhidmatan awam dari dalam,” kata sumber berkenaan.

BTN ditubuhkan pada 1974 ketika ia dikenali sebagai Unit Penyelidikan Belia di bawah Kementerian Belia dan Sukan pada masa itu. Ia kemudian dipindahkan ke Jabatan Perdana Menteri pada 1981 dan ditukar namanya menjadi BTN setahun kemudian.

Unit itu mempunyai 14 cawangan di setiap negeri serta 17 kem bina negara dan sebuah Akademi Kenegaraan di Bukit Petaling, Kuala Lumpur.

Dalam beberapa tahun lalu, BTN dikritik kerana mengapi-apikan perkauman dan ketaksuban serta menyebarkan propaganda untuk pentadbiran Barisan Nasional (BN) sebelum ini, ketika ia ditubuhkan untuk menanam semangat patriotisme dan nasionalisme dalam kalangan kakitangan awam.

Malah ada dakwaan BTN berkempen untuk BN menjelang pilihan raya umum yang lepas dalam kalangan kakitangan awam di serata negara.

Pengerusi Wanita MCA Heng Seai Kie berkata kerajaan baru PH sepatutnya menunaikan janji dan melaksanakan ikrar dalam manifestonya, antara lain Janji 28 iaitu “membubarkan BTN yang selama ini giat menjadi ejen politik murahan Umno”.

“Pada masa lalu, pemimpin PH berulang kali memperkecilkan kursus yang diajar di BTN sebagai menanam ketuanan kaum dan agama serta menyekat pemikiran kritikal. Oleh itu, BTN jadi batu penghalang kepada perpaduan nasional. Ini menunjukkan kerosakan BTN dan perlunya ia dimansuhkan secepat mungkin.”

Beliau menyeru kerajaan supaya membuat keputusan segera mengenai kedudukan BTN, seawal mesyuarat jemaah menteri hari ini.

Ketua Pemuda PH Nik Nazmi Nik Ahmad yang pernah sekali menyertai sesi BTN berkata unit itu bersifat perkauman dan politik, malah menggelar PAS sebagai parti sesat.

Beliau mengulangi gesaan agar agensi itu dibubarkan, yang terbaru dalam kenyataannya minggu lalu.

Ada beberapa laporan bagaimana kursus BTN diatur dengan tujuan mengangkat Melayu sebagai kaum tuan dan BN sebagai satu-satunya parti politik yang berwibawa.

Veteran DAP Lim Kit Siang minggu lalu menggesa majlis presiden PH melihat semula cadangan menghapuskan BTN seperti yang dijanjikan dalam manifesto.

“Bagaimanapun, merujuk kepada laporan bahawa BTN akan dikekalkan dan bukan dibubar,  seperti yang dijanjikan dalam manifesto PH, majlis presiden PH perlu menyemak semula isu itu,” katanya.

Lim berkata jika BTN boleh dirombak secara menyeluruh untuk menyebarkan semangat nasionalisme, ada kemungkinan agensi itu boleh dikekalkan.

– https://www.themalaysianinsight.com

.