USTAZ KAZIM MAHU JUAL PUSAT TAHFIZ RM5 JUTA

PETALING JAYA, 10 Julai — Kompleks Darul Barakah yang diasaskan pendakwah Datuk Mohd Kazim Elias bakal dijual pada harga RM5 juta.

Pusat tahfiz dan pengajian agama di Manjoi, Perak diiklan di laman sesawang penjualan hartanah mudah.my sejak 7 Julai lalu.

Mohd Kazim membuat keputusan itu berikutan penat, uzur dan sukar bergerak serta berseorangan mencari dana operasi.

“Memang tidak sanggup berpisah dengan sekolah ini tetapi kalau berterusan begini maka perpisahan dan penutupan adalah jalan terbaik,” coretnya.

Beliau berkata pusat tahfiz yang dihuni ratusan pelajar dibina dengan “nilai keselesaan, cantik dan sejuk mata memandang”.

Semakan di mudah.my menyebut kompleks itu seluas 1.7 ekar, dilengkapi tiga blok kuarters guru, enam bilik darjah dan empat bilik dorm asrama.

Turut disediakan kantin, pondok pengawal, stor, surau dan sebuah banglo sebagai pejabat pengurusan.

Sinar Harian hari ini melapor kesahihan keputusan Mohd Kazim untuk menjual pusat pengajian yang ditubuhkannya 12 tahun lalu.

“Buat masa ini, saya mengakui keputusan mengiklankan dan menjual bangunan Tahfiz Darul Barakah adalah sahih,” katanya.

“Esok pagi saya akan menjelaskan segala-galanya,” katanya merujuk sidang media khas di Pusat Pendidikan Al-Barakah.

– https://www.projekmm.com

.