NAJIB YANG TAK MAKAN SAMAN LAHIRKAN RAUS DAN ZULKEFLI

TAK makan saman adalah kata-kata yang cukup untuk menggambarkan tahun-tahun pentadbiran Najib Razak – buatlah apa saja tanpa bimbang kesan akibatnya.

Najib dan kawan-kawannya buat apa yang mereka telah buat kerana mereka boleh berbuat begitu. Mereka yang berkuasa, dan mahu terus kekal berkuasa. Maka, mereka menceroboh segala peraturan, segala undang-undang dan segala institusi dengan sesuka hati.

Adakalanya, bekas perdana menteri itu dan konco-konconya melanggar malah Perlembagaan Persekutuan untuk mencapai apa yang mereka hajatkan.

Contoh paling baik kerja cara “tak makan saman” ini ialah bagaimana kerajaan Najib melanjutkan lantikan Md Raus Sharif dan Zulkefli Ahmad Makinuddin sebagai ketua hakim negara dan presiden Mahkamah Rayuan.

Kedua-dua mereka dijadual bersara wajib pada Ogos dan September tahun lalu. Tetapi Perlembagaan Persekutuan dipulas-pulas supaya PM boleh melanjutkan perkhidmatan mereka.

Peguam dan pakar Perlembagaan hampir sepakat bahawa kalau dibaca dengan cara yang paling bebas sekalipun, peruntukan Perlembagaan itu tidak membenarkan Raus dan Zulkefli terus kekal di jawatan mereka biar untuk sehari lagi pun selepas tarikh persaraan wajib mereka.

Tetapi Najib mahu ada dua orang yang mesra dengannya di Istana Kehakiman, maka pendapat perundangan yang memihak kepada kerajaan dalam soal lanjutan tempoh lantikan itu dicari, dan diperolehi.

Pandangan itulah yang dipakai oleh Najib untuk buat apa yang tidak pernah dibuat oleh perdana menteri lain sebelumnya, tidak juga Dr Mahathir 1.0 ketika bertembung dengan badan kehakiman.

Menoleh ke belakang, cukup luar biasa apabila dua hakim paling kanan, yang di atas bahu mereka terpikul beban seluruh sistem keadilan, memilih untuk menerima lanjutan lantikan yang dipertikaikan itu.

Apatah lagi, Raus dan Zulkefli mengangkat sumpah untuk mempertahankan Perlembagaan Persekutuan. Sebaliknya, mereka jadi sebahagian daripada pemain dalam apa yang dilihat sebagai pelanggaran undang-undang tertinggi negara oleh Najib.

Bekas perdana menteri dan konco-konconya memang tidak makan saman dalam beberapa hal selama beliau memegang jawatan.

Dalam masa sehari, anak-anak Dr Mahathir Mohamad dan pengkritik Najib dikunjungi oleh pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri.

Institusi lain seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Polis DiRaja Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti juga digunakan oleh konco-konco Najib untuk menghukum atau menakut-nakutkan sesiapa saja yang dilihat sebagai pengacau kepada rejim Najib.

Konco Najib seperti Habibul Abdul Rahman secara terbuka dan dengan mendabik dada mengisytiharkan seluas mana kuasa yang beliau ada terhadap institusi-institusi utama di Malaysia.

Hanya dengan satu panggilan telefon saja, pegawai cukai akan sampai depan pintu anda.

Satu lagi panggilan telefon, semua masalah dengan undang-undang boleh selesai.

Suatu masa tahun lalu, Habibul menghubungi seorang pemimpin kanan Pakatan Harapan (PH) dengan satu permintaan yang mudah: tikam belakang Dr Mahathir dan masalah undang-undang yang beliau hadapi akan selesai.

Permintaan ketua operasi gelap Najib itu ditepis tetapi beliau bukannya seorang yang menerima bantahan dengan senang.

Sekali peristiwa yang lain, seorang tokoh korporat diminta menyelar PH secara terbuka. Sebagai balasan, akan ada berita baik untuk kes rayuannya di mahkamah.

Adakah Najib dan konco-konconya betul-betul mengawal mahkamah atau bolehkah mereka mencipta masalah undang-undang atau menyelesaikannya?

Barangkali.

Sepanjang tahun Najib mentadbir, semuanya dibuat dan terlepas daripada hukuman.

– https://www.themalaysianinsight.com/

.