JHO LOW MAHU JUMPA PENYIASAT 1MDB DI DUBAI

AHLI kewangan yang diburu, Low Taek Jho muncul di Dubai dan memaklumkan pasukan penyiasat kes penyelewengan dana syarikat pelaburan negara 1Malaysia Development Berhad (1MDB) bahawa beliau sedia bertemu dengan mereka di sana, kata sumber kerajaan.

Bagaimanapun sebelum pertemuan itu berlangsung, peguamnya akan terlebih dulu duduk bersama pegawai-pegawai dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Dubai membincangkan aspek siasatan yang boleh dibantu oleh anak guam mereka.  

Peguam Jho Low mengesahkan perbincangan yang sudah bermula dengan pihak berkuasa Malaysia namun enggan mendedahkan butiran lanjutnya kepada The Malaysian Insight.

Pihak berkuasa Malaysia yakin ahli perniagaan asal Pulau Pinang itu boleh membantu mereka mendapatkan semula dana yang diselewengkan atau aset yang dibeli dengan dana tersebut.

Pada masa sama, penyiasat kes 1MDB juga yakin beliau boleh mengenal pasti aset berharga lain termasuk barangan kemas mewah yang disorok.

Kesediaan Jh Low memberi kerjasama kepada pihak berkuasa Malaysia bukanlah sesuatu yang datang tiba-tiba.

Selama Najib Razak dan Barisan Nasional (BN) berkuasa dan memberikannya perlindungan daripada pendakwaan, beliau bersembunyi dan tutup mulut.

Semuanya berubah selepas 9 Mei lepas apabila Pakatan Harapan (PH) menyingkirkan BN dari Putrajaya. Pentadbiran Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad meletakkan sebagai keutamaan usaha mendakwa Najib dan beberapa individu yang terkait dengan skandal 1MDB.

Dengan latar belakang inilah tabir yang selama ini melindungi Jho Low tersingkap.

Beliau sejak itu mengirimkan isyarat mahu bekerjasama kepada pentadbiran Dr Mahathir dan SPRM.

Penyiasat di Singapura dan Amerika Syarikat menyifatkan Jho Low sebagai dalang utama penyelewengan berbilion ringgit dana dari syarikat pelaburan negara itu.

Pihak berkuasa sudah mengeluarkan beberapa notis dan waran tangkap terhadapnya namun beliau licik menyelinap sebelum berita skandal itu terbongkar dengan meluas pada 2015.

Pihak berkuasa di Malaysia percaya Jho Low dilindungi di China dan di beberapa negara di Asia Barat, termasuk Emiriyah Arab Bersatu (UAE).

Perlindungan diplomatik ini menyukarkan Malaysia dan kerajaan negara lain yang menyiasat skandal ini mendapatkan perintah ekstradisi terhadap Jho Low.

Dr Mahathir baru-baru ini berkata kerajaan tahu di mana lelaki buruan ini berselindung namun sulit untuk menangkapnya.

Dubai selama ini terkenal sebagai tempat persembunyian ahli politik dan ahli perniagaan yang melarikan diri, termasuk mereka yang melakukan kesalahan jenayah di negara sendiri. Ini termasuk bekas perdana menteri Thailand, Thaksin Shinawatra.

Pegawai kerajaan percaya Jho Low rapat dengan pihak berkepentingan yang berpengaruh di Dubai. Itu sebabnya beliau mahu pertemuan dengan pihak penyiasat Malaysia dibuat di sana. Beberapa urusan yang meragukan dalam skandal 1MDB ini turut melibatkan individu-individu berasal dari UAE.

– https://www.themalaysianinsight.com

.