KELUARNYA SARAWAK PETANDA KEHANCURAN BN

TINDAKAN Kerajaan Sarawak meninggalkan Barisan Nasional boleh menyebabkan langkah serupa diambil parti komponen yang lebih kecil disebabkan sekarang sudah tidak banyak manfaat politik dan kewangan untuk terus bernaung dibawahnya.

Dengan kekalahan besar Umno, parti utama BN, rakan komponen yang lebih kecil tidak lagi akan menerima manfaat politik dan perniagaan yang selama ini diperolehi hasil hubungan rapat dengan parti Melayu itu, kata Pengarah Asia Institute University of Tasmania, James Chin.

“Anda perlu ingat yang semua parti ini keluar kerana mereka tak rugi apa-apa. Sebelum ini mereka tak boleh keluar kerana kontrak dan jawatan kerajaan, selain peluang perniagaan (yang wujud).

“Ada juga yang bersama kerana mereka mahu gelaran seperti Tan Sri, Datuk dan lain-lain. Sekarang mereka dah tak boleh dapat apa-apa, tiada apa lagi yang halang mereka untuk keluar,” kata Chin.

Ketua Menteri Sarawak Abang Johari Openg hari ini mengumumkan yang Parti Pesaka Bumiputera Sarawak (PBB), Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demoratik Progresif (PDP) telah meninggalkan BN.

Gabungan empat parti itu sekarang dikenali sebagai Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Ia bukan sebahagian daripada Pakatan Harapan (PH).

Tindakan GPS itu mengurangkan 13 kerusi Parlimen daripada 79 yang dimenangi BN pada 9 Mei lalu, seterusnya melemahkan lagi gabungan parti yang memerintah negara selama enam dekad itu. Umno mempunyai 54 kerusi dalam BN.

Ditanya jika BN akan terbubar, Chin berkata: “Tidak, Umno adalah BN. Selagi mana Umno hidup, BN akan hidup. Tetapi mereka mungkin akan guna lain. Jangan lupa Umno adalah parti tunggal terbesar dalam Parlimen.”

Chin menambah yang mungkin parti komponen lain akan turut keluar: “Kebanyakan parti BN sudah keluarpun, jadi mungkin BN akan tinggal dengan parti asalnya, Umno, MIC dan MCA. Gerakan pun mungkin keluar tak lama lagi. Saya tak terkejut kalau MCA pun keluar.”

Lima blok politik muncul selepas PRU14- Pakatan Harapan, PAS, Umno, BN Sarawak dan BN Sabah. Sabah BN mula meregangkan ikatan sebaik sahaja keputusan pilihan raya diumumkan mengurangkan kerusi Dewan Undang Negeri BN daripada 29 kepada 11.

“Ada orang berpandangan yang BN lebih bersatu berbanding pembangkang termasuk PH. Tetapi, yang benarnya perpaduan BN terletak pada kuasa kerajaan pusat,” kata Felo Penang Institute Wong Chin Huat.

“Sekarang dah hilang kuasa, ini kesan (keluar BN) yang tak dapat dielakkan.”

Penganalisis politik Profesor Madya Awang Azman Pawi dari Universiti Malaya pula berkata keluarnya Sarawak hari ini disebabkan hasrat parti terlibat yang mahu menjauhkan diri terheret sekali dalam skandal melibatkan bekas perdana menteri Najib Razak.

Ini termasuklah projek bernilai RM1.25 bilion tanpa tender terbuka yang dianugerahkan kepada sebuah syarikat sewa kereta untuk memasang panel solar di 369 sekolah di pendalaman Sarawak.

“Hakikatnya tindakan itu oleh GPS hanyalah seperti ular salin kulit, isinya masih sama tanpa perubahan struktur atau kepimpinan.

“Nampaknya inilah penamat BN,” kata Awang Azman.

– M’kini

.