‘KENYATAAN DIRAKAMKAN 2015’ – SPRM NAFI KENYATAAN NAJIB, NAMUM….

Kekeliruan kini menyelubungi dakwaan Datuk Seri Najib Razak bahawa SPRM tidak merakamkan kenyataannya pada tahun 2015.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki, berkata keterangan diambil oleh beberapa pegawai yang menemui Najib di pejabat Perdana Menteri pada Disember 2015.

“Sekitar Disember 2015, kami sudah bertemu Najib di pejabatnya dan mengambil keterangannya selama tiga jam, SPRM juga telah merekod keterangan beliau pada ketika itu,” katanya yang dipetik oleh portal Berita Harian Online, hari ini.

Ditanya mengapa Najib mendakwa keterangannya tidak diambil dalam kes itu, Azam enggan mengulas namun berkata itu adalah hak bekas perdana menteri itu berkata demikian.

Walau bagaimanapun, adalah dipercayai kedua-dua Najib dan Azam merujuk kertas pertuduhan ke atasnya yang didakwa mula muncul pada bulan Julai 2015.

Najib menyoal bagaimana mungkin ada surat pertuduhan pada ketika itu sedangkan SPRM belum merakamkan kenyataannya.

Beliau mengulas kenyataan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad supaya tidak terburu-buru mendakwa dirinya di mahkamah, sebaliknya mengumpulkan bukti keterangan yang kukuh terhadap skandal 1MDB.

Bekas perdana menteri itu berkata kenyataan Mahathir juga membuktikan bahawa kononnya wujud kertas pertuduhan terhadapnya pada tahun 2015 adalah tidak benar dan ia sebahagian daripada konspirasi untuk menggunakan individu tertentu dalam kerajaan untuk menjatuhkannya.

Pada Julai 2015, Abdul Gani Patail disingkirkan daripada jawatannya sebagai peguam negara apabila beliau yang mengetuai pasukan khas yang menyiasat dana RM2.6 bilion dan SRC International yang berada dalam akaun bank peribadi Najib.

Dr Mahathir ketika bertemu dengan Gani di Yayasan Kepimpinan Yayasan Perdana di Putrajaya pada 16 Mei lalu, mendakwa bahawa bekas peguam negara itu sedang mempersiapkan kertas pertuduhan terhadap Najib apabila beliau dipecat dari jawatannya.

Walau bagaimanapun, beliau tidak menerangkan bagaimana bekas peguam negara itu mahu membuat pertuduhan sedangkan kenyataan Najib belum dirakamkan.

– M’kini

.