3 MENTERI KE SINGAPURA RUNDING PROJEK HSR

MALAYSIA akan menghantar tiga menteri ke Singapura bagi membuat rundingan semula projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) dengan Singapura, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke.

Menurut Anthony, selain beliau, dua lagi adalah Menteri Kewangan Lim Guan Eng dan Mohamed Azmin Ali yang merupakan menteri hal ehwal ekonomi.

“Kami masih berunding dengan Singapura. (Tiga) menteri akan pergi ke Singapura untuk berunding mengenai perjanjian ini,” kata Loke pada sidang akhbar di Putrajaya hari ini.

Loke ditanya berhubung kenyataan yang dibuat oleh Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dalam temu bual dengan Nikkei Asian Review Jepun yang kerajaan hanya menangguhkan projek itu dengan Singapura.

Dalam temu bual itu, Dr Mahathir berkata Malaysia akan mendapat banyak manfaat daripada projek itu.

“Terdapat keperluan untuk kereta api berkelajuan tinggi di masa depan, mungkin melalui Semenanjung. Tetapi kita tidak mampu buat masa ini.

“Jadi, kita sebenarnya menangguhkan pelaksanaan projek itu,” katanya.

Komen Dr Mahathir itu dilihat agak lembut berbanding pendirian tegas pentadbirannya sebelum ini berhubung pembatalan projek itu sepenuhnya, satu langkah yang akan menyaksikan negara dikenakan penati bernilai jutaan ringgit.

Dr Mahathir memberitahu akhbar Jepun itu walaupun kereta api berkelajuan tinggi berguna pada masa akan datang, kosnya – yang beliau letakkan pada nilai RM110 bilion – terlalu tinggi ketika Putrajaya cuba mengurangkan hutang negara sebanyak RM1 trilion.

– https://www.themalaysianinsight.com

.