ANWAR MUNGKIN BERTANDING PILIHAN RAYA SELEPAS AIDILFITRI

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mendapat perkenan pengampunan penuh Yang di-Pertuan Agong Sultan Muhammad V hari ini kini bebas sepenuhnya daripada sebarang pertuduhan dan boleh terlibat dalam politik, kata peguamnya R Sivarasa.

Beliau berkata ini bermakna ketua umum PKR boleh bertanding pada pilihan raya kecil yang mungkin diadakan bagi membolehkan Anwar menjadi anggota parlimen.

“Beliau menjadi orang bebas sebaik sahaja keluar dari hospital ini,” katanya kepada pemberita di perkarangan Hospital Rehabilitasi Cheras di sini hari ini.

Bagaimanapun Sivarasa percaya perbincangan mengenai pembabitan Anwar dalam politik kemunginan besar hanya akan dibincangkan selepas raya pada Jun ini.

“Ini merupakan pandangan saya dan bukan keputusan beliau. Mungkin lepas raya kita akan duduk bincang dengan beliau (Anwar).

“Secara logiknya tidak ada apa-apa akan berlaku sepanjang Ramadan ini. Beliau perlukan rehat,” katanya.

Anwar yang diiringi isteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail meninggalkan hospital itu menuju ke Istana Negara untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V pada kira-kira 11.30 pagi tadi.

— Bernama

.