NAJIB PASTI KENA CEKUP DALAM SEHARI DUA INI

Apabila Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad menegaskan bahawa kerajaan ada kes terhadap Najib Razak dan menambah, bekas Perdana Menteri itu akan didakwa dalam masa terdekat, kemudian disusuli dengan tindakan menjadikan Laporan Audit 1MDB sebagai dokumen terbuka, gambarannya tidak lain ialah ia pasti disusuli dengan beberapa tangkapan.
Tambahan lagi, semalam juga Tun Mahathir telah mengadakan pertemuan dengan Ketua Hakim Negara, Tun Raus Sharif, bekas hakim Mahkamah Persekutuan, Gopal Sri Ram, bekas Peguam Negara, Gani Patail dan bekas Timbalan Pengarah Cawangan Khas PDRM, Abdul Hamid Bador.
Pertemuan dengan Ketua Polis Negara, Mohamad Fuzi Harun pula telah diadakan beberapa kali sejak Tun Mahathir mengangkat sumpah jawatan sebagai Perdana Menteri.
Sebelumnya, Perdana Menteri turut mengeluarkan arahan sekatan perjalanan terhadap Peguam Negara yang dicutikan, Apandi Ali, bekas Ketua Pesuruhjaya SPRM, Dzulkifli Ahmad dan Ketua Setiausaha Kementerian Kewangan merangkap Pengerusi 1MDB, Irwan Siregar Abdullah.
Najib dan Rosmah lebih dulu disekat perjalanan mereka kerana menurut Tun Mahathir, tindakan itu perlu dilakukan berikutan kerajaan tidak mahu berdepan masalah dari segi ekstradisi di kemudian hari.
Semua tindakan di atas adalah petanda jelas bahawa Najib – mungkin juga disertai Rosmah – akan dicekup dalam sehari dua ini sebagai menunaikan janji Pakatan Harapan untuk membawa semua mereka yang terlibat dengan skandal 1MDB ke muka pengadilan.
Ia kemudian pasti akan disusuli sederetan nama lain yang terkait dengan skandal itu, yang paling hampir tentunya nama-nama yang telah disekat untuk ke luar negara itu.
Harus diakui, antara faktor penting rakyat memberi undi kepada Pakatan Harapan dan sedia kepada perubahan ialah untuk melihat Najib dan semua yang terlibat dalam skandal 1MDB ditahan, disiasat dan dihadapkan ke muka pengadilan.
Bukanlah rahsia lagi, di ketika seluruh dunia memperkatakan mengenai skandal tersebut dan beberapa negara juga telah mengambil tindakan yang bersesuaian, sebaliknya di negara sendiri semuanya cuba ditutup serta dilindungi.
Ada yang dibersihkan secara terang-terangan, kes disenyapkan begitu saja, penyiasatan dilengah-lengahkan, bukti diketepikan dan pelbagai cara lain untuk menutupnya.
Tetapi, dengan Pakatan Harapan memenangi pilihanraya dan Tun Mahathir kembali menjadi Perdana Menteri, bangkai gajah yang sudah berbau busuk itu tidak mungkin mampu ditutup lagi.
Walaupun skandal 1MDB mungkin merupakan kes yang rumit dan memerlukan masa yang panjang untuk menyiasatnya, tetapi kes terdekat yang paling mudah dijadikan asas untuk menangkap Najib ialah berkaitan kemasukan RM42 juta daripada SRC International, anak syarikat 1MDB, ke dalam akaun peribadinya.
RM42 juta itu diakui sendiri diterima oleh Najib, tetapi beliau berdalih dengan menyatakan tidak mengetahui ia bersumberkan daripada SRC International kerana menyangka ia bersekali dengan dana RM2,600 juta yang kononnya diterima daripada kerabat Diraja Arab Saudi.
Berikutan dana RM42 juta itulah juga dua pengarah SRC International, Suboh Md Yassin dan Nik Faisal Arif Kamil telah menghilangkan diri dan dipercayai masih berada di luar negara sehingga kini.
Najib dipercayai diberikan RM42 juta itu berikutan SRC International memperolehi pinjaman RM4 bilion daripada dana Kumpulan Wang Amanah Pencen atau KWAP yang dibawah selian Kementerian Kewangan.
Berhubung kesalahan itu, Jabatan Peguam Negara difahamkan sudah pun menyediakan kertas pendakwaan mengenainya, sebelum Gani Patail disingkirkan secara mengejut dan digantikan dengan Apandi Ali.
Kertas pendakwaan itu kemudian didedahkan oleh Sarawak Report dan tular di media-media sosial.
Dengan seolah-olah menjadi tahanan rumah sekarang ini di mana kediamannya dikawal ketat oleh pihak polis, mahu tidak mahu, Najib harus mengakui laluan berduri sedang terbentang luas di hadapannya.
Tiada apa lagi yang mampu dilakukannya, selain menerima inilah takdir buruk yang bakal menimpa yang berpunca daripada kerakusannya sendiri.
Selepas kes SRC International, pasti akan menyusul pula penyiasatan berkaitan skandal 1MDB dan kemasukan wang RM2,600 juta ke akaun peribadinya yang dipercayai bukannya datang daripada mana-mana kerabat Diraja Arab Saudi, sebaliknya daripada Tanore Finance Corporation yang merupakan milik Eric Tan Kim Loong atau nama kedua bagi Jho Low.
Najib bukan saja akan dicekup, disiasat dan dibawa ke muka pengadilan, bahkan akhirnya akan menghuni kehidupan baru di penjara.

Percayalah, dengan Tun Mahathir memegang kuasa, semua itu akan berlaku dengan pantas dan tidak mustahil dalam sehari dua ini saja.

–¬†http://shahbudindotcom.blogspot.my/

.