GUAN ENG JUMPA MAHATHIR PAGI INI

PUTRAJAYA – Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng  menemui Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dipercayai berhubung pelantikannya sebagai Menteri Kewangan, pagi tadi.

Isu berkaitan kelayakan beliau menyandang jawatan utama itu timbul susulan Guan Eng masih berdepan tuduhan rasuah  berhubung pembelian banglo yang didakwa di bawah harga pasaran dan didakwa melibatkan penukaran sebidang tanah.

Bagaimanapun usaha pemberita untuk mendapatkan reaksi beliau tidak berjaya.

Kenderaan yang membawa Guan Eng meninggalkan Yayasan Kepimpinan Perdana kira-kira jam 10 pagi.

Semalam melalui sidang media, perdana menteri menyatakan lantikan Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan itu  sebagai menteri kewangan belum sah selagi beliau belum mengangkat sumpah jawatan.

Dr Mahathir berkata, setiap menteri dilantik perlu bebas daripada kesalahan berdasarkan laporan.

Ketika berucap pada ceramah mega ‘Sekalung Budi Membina Harapan’ di Padang Kota,  malam tadi Guan Eng  berikrar akan memastikan ‘kesihatan’ kewangan negara dapat dipulihkan selepas kerajaan Pakatan Harapan (Harapan) mengambil alih tampuk pentadbiran daripada BN pada PRU14 lalu.

Beliau berkata, selepas melihat penyata kewangan negara, pihaknya perlu bekerja lebih kuat untuk memulihkan kembali kewangan negara.

– Sinar Harian

.