MUHYIDDIN KEMUKA CALON MENTERI DARIPADA BERSATU

PUTRAJAYA – Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin menemui Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad di Yayasan Kepimpinan Perdana, hari ini bagi mengemukakan senarai ahli parlimen dari parti itu untuk dicalonkan sebagai menteri dan timbalan menteri.

Muhyiddin berkata, bilangan ahli parlimen daripada parti itu tidak besar, hanya sekitar 13 orang termasuk beliau yang telah dilantik sebagai Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri  Mukhriz Tun Mahathir sebagai Menteri Besar Kedah dan Ahmad Faizal Azimin yang dilantik Menteri Besar Perak.

“Apa dikehendaki Tun selaku perdana menteri telah kita kemukakan dan kita serah kepada kebijasksanaan Tun untuk pertimbangkan,”katanya.

Beliau berharap perwakilan daripada Bersatu  dapat memainkankan peranan dalam kerajaan di kementerian-kementerian, dan beliau akan menerima sebarang keputusan perdana menteri.

Tambahnya calon-calon lain juga telah dikemukakan oleh PKR dan DAP dan sedang dipertimbangkan perdana menteri dalam tempoh beberapa hari lagi.

“Bagi saya apa yang amat penting ialah proses pembentukan kerajaan dan jemaah menteri dapat disegerakan kerana kita hendak mula bekerja selepas menerima mandat besar daripada rakyat.

” Harapan rakyat begitu tinggi dan mereka ingin melihat sama ada kerajaan ini kerajaan  betul-betul betul bekerja atau bagaimana,”katanya.

Sehubungan itu katanya,  urusan tersebut (mengemukakan calon jemaah menteri) perlu diselesaikan segera bagi membolehkan perdana menteri mengumumkan barisan kabinetnya.

Terdahulu Muhyiddin dilihat memasuki Yayasan Kepimpinan Perdana kira-kira jam 12 tengah hari.

Sebelum itu, Ketua Audit Negara, Tan Sri Madinah Mohamad menemui Mahathir kira-kira jam 11 pagi manakala Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng menemui pemimpin nombor satu itu pada sebelah pagi.

– http://www.sinarharian.com.my/

.