ADA BUKTI, APANDI ENGGAN SIASAT RM42 JUTA MASUK AKAUN NAJIB

KUALA LUMPUR, 10 Mei -- Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Najib Tun Razak ketika sidang media khas keputusan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini.?--fotoBERNAMA (2018) HAK CIPTA TERPELIHARA

KUALA LUMPUR – Peguam negara didakwa enggan menyiasat bukti dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) mengalir masuk ke akaun peribadi Datuk Seri Najib Razak.

Tan Sri Mohamed Apandi Ali tidak meneruskan siasatan terhadap bekas perdana menteri itu walau ada bukti pada hujung 2015, dedah ahli panel siasatan kes Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Wang US$10.6 juta (RM42 juta) daripada SRC International, anak syarikat 1MDB, enggan disiasat Apandi, kata Lim Chee Wee kepada Reuters hari ini.

“Peguam negara enggan menyiasat lanjut walau bukti menunjukkan Najib secara langsung atau tidak menerima RM42 juta daripada SRC,” katanya.

Apandi tidak mahu mengulas apabila dihubungi Reuters, sementara SPR tidak menjawab permintaan agensi berita itu untuk memberi kenyataan.

Lim menambah SPRM berkali-kali mendesak Apandi mendapatkan bantuan daripada kerajaan lain untuk mengesan dana 1MDB tetapi ditolaknya.

“Kami terus beritahu peguam negara … tolong dapatkan bantuan perundangan daripada negara lain untuk menjejak wang itu di negara lain.

“Kami tahu pergerakan duit itu di Malaysia tetapi apabila duit itu sudah keluar negara, kami tidak dapat tahu,” kata Lim lagi.

Seorang lagi ahli panel siasatan P. Sundramoorthy, pakar jenayah Universiti Sains Malaysia (USM), berkata kes terhadap Najib tidak wajar ditutup.

“Berdasarkan penilaian panel, kami fikir kes tersebut tidak wajar ditutup kerana ada maklumat kukuh untuk menyatakan ia sepatutnya disiasat lanjut,” katanya kepada agensi berita itu.

– M’kini

.