USAHA TUN MAHATHIR PULIHKAN NEGARA JANGAN DIGANGGU, MALAH WAJIB DIBANTU

Hari ini adalah hari pertama Tun Mahathir Mohamad memasuki pejabat sebagai Perdana Menteri, tetapi beliau tidak pergi ke Bangunan Perdana Putra yang menempatkan Pejabat Perdana Menteri, sebaliknya memulakan tugasnya di Yayasan Kepimpinan Perdana.

Antara jadual awalnya yang kita ketahui ialah beliau akan mengadakan pertemuan dengan KSN dan semua KSU kementerian untuk menerangkan hala tuju dan fungsi kerajaan baru Pakatan Harapan, khususnya untuk  memerangi rasuah.

Tun Mahathir juga dijadual menyambut ketibaan Sultan Brunei dan akan mengadakan perbincangan dua hala dengannya.

Meskipun begitu, Tun Mahathir sebenarnya sudah pun mula bekerja sebaik saja mengangkat sumpah jawatan pada Khamis malam yang lalu di ketika seluruh rakyat sedang bercuti panjang selama lima hari berikutan kejayaan Pakatan Harapan menumbangkan BN.

Dalam usaha memulihkan negara, tiada istilah cuti atau rehat bagi Tun Mahathir. Selain mengumumkan pembentukan kabinet, dengan tiga menteri kanan dilantik terlebih dahulu, beliau juga membentuk Majlis Penasihat yang dianggotai oleh Tun Daim Zainuddin, Zeti Akhtar Aziz, Hassan Merican, Robert Kouk dan Prof Jomo KS Sundram.

Selain bermesyuarat beberapa kali dengan rakan pimpinan daripada Bersatu, PKR, DAP dan Amanah untuk urusan pembentukan kabinet dan hala tuju kerajaan baru, Tun Mahathir juga sempat mengeluarkan banyak arahan seperti tidak membenarkan Najib Razak meninggalkan negara bagi memudahkan siasatan terhadap bekas Perdana Menteri itu, khususnya berhubung skandal 1MDB dan wang RM2,600 juta yang dimilikinya.

Susulan itu, kediaman Najib sudah pun dikawal rapi dan sebuah kondo milik ahli keluarganya juga telah diserbu oleh pihak polis.

Sudah tentu lebih banyak tindakan lagi akan diambil selepas ini yang semuanya bukan saja bertujuan menyiasat Najib, tetapi juga bagi matlamat yang lebih besar iaitu menyelamatkan negara.

Tun Mahathir terlihat amat serius dengan janji untuk menyelamatkan negara sekiranya Pakatan Harapan berjaya mengambil alih kuasa. Dalam usia mencecah 93 tahun, kadangkala kita berasa kesian dengan hakikat bahawa beliau masih perlu bekerja dengan lebih keras berbanding ketika menjadi Perdana Menteri sebelum ini semata-mata untuk memulihkan negara yang telah dirosakkan oleh Najib serta untuk memberi kesejahteraan kepada rakyat.

Dalam hal ini, semua pihak dalam Pakatan Harapan harus banyak membantu serta tidak mengganggu tugas-tugasnya itu seperti membangkitkan soal perlantikan anggota kabinet secara terbuka misalnya.

Harus disedari bahawa perlantikan anggota kabinet adalah hak mutlak Tun Mahathir selaku Perdana Menteri. Walaupun dalam Pakatan Harapan ada empat parti dan mereka berhak mengemukakan nama-nama untuk dicalonkan sebagai menteri atau timbalan menteri, hak menempatkan calon berkenaan di mana-mana kementerian adalah hak mutlak seorang Perdana Menteri, bukan boleh dicampuri oleh mana-mana parti.

Tidak wajar dan tidak patut bagi sesiapa juga untuk mempertikaikan  mana-mana perlantikan, baik dengan hujah tidak mendapat restu parti atau seumpamanya.

Tugas sesebuah parti hanyalah mengemukakan nama dan di kementerian mana diletakkan, ia adalah terserah kepada Tun Mahathir Mohamad selaku Perdana Menteri untuk menentukannya.

Jika sesebuah parti sampai ke tahap mahu menentukan di kementerian mana seseorang itu harus diletakkan, ia dengan sendirinya  bermakna bahawa kuasa, hak dan prerogatif seorang Perdana Menteri telah dicerobohi.

Yang penting ialah apabila Pakatan Harapan telah bersetuju menamakan Tun Mahathir sebagai calon Perdana Menteri sebelum ini, bermakna gabungan itu harus menaruh kepercayaan dan keyakinan sepenuhnya kepada beliau.

Memang menjadi menteri, menyertai kabinet atau menjadi sebahagian daripada kerajaan adalah penting bagi semua parti atau pemimpin, baik kepada Bersatu, PKR, DAP atau Amanah, tetapi janganlah sampai keghairahan kepada jawatan itu melebihi agenda untuk menyelamatkan negara.

Dahulukanlah agenda untuk menyelamatkan negara berbanding semua kepentingan lain. Jika negara dapat diselamatkan dan rakyat berpuas hati dengannya serta mereka menikmati keselesaan hidup selepas ini, percayalah bahawa Pakatan Harapan mampu berkuasa dalam tempoh yang lebih lama dalam negara ini.

Sebaliknya, jika baru tidak sampai seminggu berkuasa sudah ternampak tanda-tanda “berebut harta karun” lebih menjadi keutamaan, ini sekaligus akan menimbulkan kebencian  rakyat dan akan memberi kesukaran kepada Pakatan Harapan mengekalkan kuasanya dalam PRU15 akan datang.

Bantulah Tun Mahathir memulihkan negara ini, dengan pengalaman dan ilmu pentadbiran yang ada padanya dan jangan sesiapa cuba menimbulkan perkara-perkara yang boleh dianggap sebagai gangguan kepadanya.

– http://shahbudindotcom.blogspot.co.id

.