ZAHID NAFI TEMUI ANWAR

Pemangku Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menafikan dakwaan beliau berjumpa dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam.

Menurut Zahid beliau bukan sahaja tidak bertemu bekas ketua pembangkang itu malah mengadakan solat hajat pada waktu yang diperkatakan.

“Waktu seperti yang didakwa berkenaan, saya sedang bersolat hajat di rumah saya,” katanya pada sidang media di Menara Dato Onn di ibu negara hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan pemberita mengenai dakwaan Zahid mengadakan pertemuan dengan Anwar di Pusat Rehabilitasi Cheras pada petang semalam.

Pada sidang media sama, Zahid berkata beliau  diberi mandat oleh ahli Majlis Tertinggi Umno sekiranya mahu mengadakan sebarang rundingan.

Bagaimanapun beliau tidak menjelaskan lebih lanjut sama ada rundingan itu termasuk dari pihak parti kerajaan Pakatan Harapan (HARAPAN).

“Majlis Tertinggi telah beri mandat pada saya bahawa jika ada sebarang rundingan yang mahu dibuat bagi pihak BN dan Umno ia hendaklah dibuat secara end bloc.

“Kita akan menggunakan segala kekuatan Umno dan BN demi mengadakan rundingan dengan siapa sahaja bagi pembentukan dalam sebarang bentuk kerajaan atau sebagai pembangkang.

“Di dalam hal ini, ahli-ahli Majlis Tertinggi telah beri mandat sepenuhnya pada saya untuk mengadakan perundingan dan juga langkah-langkah selanjutnya,” katanya lagi.

– M’kini

.