‘KENAPA DEKAT PRU BARU MINTA MAAF?

Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menyifatkan permohonan maaf pengarah urusan Supermax Corporation Berhad Datuk Seri Stanley Thai kerana menyokong pembangkang pada PRU lalu, sebagai gimik politik semata-mata.

Beliau berkata ini kerana permohonan maaf terbuka itu dibuat ketika PRU ke-14 sudah semakin hampir.

“Kenapa kesal semalam, kenapa bukan tahun lepas? Ini semua gimik politik.

“Kalau orang korporat pun boleh ditekan dan diugut oleh Umno dan BN, ini sangat malang,” katanya kepada pemberita selepas Program Ramah Mesra Bersama Penerima Bantuan Sekolah SJKC, SJKT, SMJK dan Mubaligh di Bangunan SUK, Shah Alam, hari ini.

Timbalan Presiden PKR itu mengulas tindakan Thai (gambar) yang membuat sidang media Sabtu lalu untuk menyatakan permohonan maaf kepada Datuk Seri Najib Razak berhubung perkara itu.

Beberapa tahun lalu, beliau membuat kejutan apabila mengumumkan sokongan kepada Pakatan Rakyat dalam satu bual dengan Bloomberg.

Berikutan keputusan PRU ke-13, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menjual kepentingannya dalam Supermax.

Sejurus selepas permohonan maaf itu, bekas menteri Tan Sri Rafidah Aziz yang merupakan pengerusi Supermax meletakkan jawatannya.

Azmin yang juga menteri besar sementara Selangor turut mempersoalkan kritikan Thai terhadap isu air di negeri itu.

Pada sidang media Sabtu lalu, Thai mendakwa cara kerajaan negeri mengendalikan isu itu menyebabkan Supermax – antara pengeluar sarung tangan getah terbesar dunia – terpaksa menangguhkan dua projek dan menanggung kerugiaan jutaan ringgit.

“Kenapa (baru kesal) semalam. PRU dulu dia sokong,” kata Azmin ringkas.

Pada tahun 2014, Thai didakwa atas kesalahan berkongsi maklumat bukan awam berkaitan saham sebuah syarikat. Dia dijatuhkan hukuman penjara lima tahun dan kini dalam proses rayuan.

– M’kini

.