SAMSU ADABI CALON RASMI BERSATU DI PUTRAJAYA

Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) mengumumkan ahli akademik dan Ketua Bahagian BERSATU Cheras Samsu Adabi Mamat sebagai calon parlimen Putrajaya.

Pengumuman dibuat itu selepas laporan sebelum ini mengatakan bekas pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman akan bertanding di kerusi itu berdepan dengan penyandang dari BN Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Malaysiakini sebelum ini memetik sumber parti itu yang mendakwa Rashid disahkan sebagai calon kerusi itu dalam mesyuarat minggu lepas.

Diminta mengulas perkara itu, Samsu Adabi menjelaskan ia hanyalah laporan media dan tidak sama dengan pendirian rasmi BERSATU.

“Apa yang diputuskan sebelum ini adalah apa yang diumumkan pada malam ini,” katanya kepada pemberita di Putrajaya malam tadi.