NAJIB: KEDAI ROTI LINGKUP PUN SALAH BN?

Perdana menteri sementara Datuk Seri Najib Razak hari ini mendakwa pembangkang akan salahkan kerajaan BN dalam sebarang hal termasuklah penutupan kedai roti.

Meskipun tidak menyebut nama, Najib dipercayai berkata demikian sebagai merujuk penutupan kedai roti premium The Loaf Tun Dr Mahathir Mohamad Jumaat lalu.

“Yang paling pelik baru-baru ini, kedai roti yang lingkup pun mereka (pembangkang) nak salahkan BN.

“Kedai roti yang lingkup terpaksa tutup pun salah perdana menteri? Tak masuk akal tuan-tuan, puan-puan. Tak masuk akal,” katanya di hadapan ribuan pelajar dan alumni Mara di program yang diadakan di Subang Jaya.

Portal berita Singapura The Straits Times semalam memetika Dr Mahathir yang berkata beliau cuba menjual The Loaf untuk mendapatkan dana kempen pilihan raya namun gagal selepas bakal pembeli francais itu didatangi pegawai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Sementara itu, dalam ucapan sama, Najib yang tidak menyebut nama Dr Mahathir beberapa kali merujuk skandal kewangan ketika 22 tahun pemerintahan pengerusi Pakatan Harapan itu sebagai perdana menteri.

“Rugi RM31 bilion salah orang lain. Maminco salah orang lain. MAS (Malaysia Airlines) nak lingkup salah orang lain, Proton nak lingkup pun salah orang lain.

“Jadi cukuplah politik macam ini. Yakinlah pada Umno BN,” katanya.

Kerugian RM31 bilion merujuk kepada skandal forex melibatkan Bank Negara pada 1990an, sementara Maminco adalah syarikat yang ditubuhkan pada 1981 dan akhirnya dilaporkan mempunyai hutang RM1.5 bilion kepada bank tempatan.

– Malay Mail

.