UNTUNG ORANG LANGKAWI, SELEPAS TUN MAHATHIR UMUM BERTANDING DI LANGKAWI MALAM INI, TENTU BERGANDA LAGI HABUANNYA

Malam ini akan berlangsung program ceramah besar-besaran di Langkawi yang akan dihadiri oleh semua pemimpin utama Pakatan Harapan.
Tun Mahathir Mohamad, Dr. Wan Azizah Wan Ismail, Lim Kit Siang, Mohamad Sabu, Muhyiddin Yassin serta beberapa nama lain adalah antara yang disenaraikan hadir dan akan berucap dalam program malam nanti.
Pada malam nanti juga dijangka akan berakhir penantian dan teka-teki kawasan mana yang akan ditandingi oleh Tun Mahathir selaku Pengerusi Pakatan Harapan dan bakal Perdana Menteri.
Adalah dijangka Tun Mahathir akan membuat pengumuman rasmi dan mengesahkan bahawa Langkawi adalah kawasan yang akan ditandinginya dalam pilihanraya pada 9 Mei nanti.
Jika sebelum ini, sebaik Tun Mahathir membayangkan ura-ura mahu bertanding di Langkawi, selain Najib Razak sendiri sudah dua tiga kali berkunjung ke pulau lagenda itu sambil menghamburkan banyak gula-gula dan peruntukan, jentera-jentera UMNO dan BN juga turut sibuk turun padang untuk menemui pengundi-pengundi.
Difahamkan macam-macam sudah mula diberikan, ada yang dapat peralatan letrik, barangan dapur, duit belanja dan sebagainya.
Cabutan bertuah yang diadakan pula bukan lagi hamper sebagai hadiahnya, sebaliknya sudah naik taraf kepada motorsikal untuk ganjaran utamanya.
Tidak mustahil selepas Tun Mahathir mengumumkan secara rasmi akan bertanding di Langkawi ini,  bukan saja Najib akan lebih kerap datang ke pulau itu, bahkan tentunya lebih banyak buah tangan dan gula-gula akan terus dihulurkan kepada pengundinya.
Kalau ada cabutan bertuah di majlis anjuran BN selepas ini, tidak mengejutkan jika hadiahnya meningkat lagi kepada sebuah kereta atau  rumah kos rendah dan sederhana.
Betapa beruntungnya orang penduduk Langkawi, jika dulu pulau tersebut dimajukan ketika Tun Mahathir memegang jawatan Perdana Menteri, kini kehadirannya bertanding di Pulau Langkawi nyata membawa seribu rahmat lagi kepada mereka.
Jika bukan Tun Mahathir yang begitu ditakuti oleh Najib bertanding di Langkawi, sudah tentu tiadalah segala nikmat yang mencurah-curah seperti sekarang ini.
Hanya kerana Tun Mahathir bertanding di Langkawi, pengundi Pekan dan Bagan Datuk yang diwakili oleh Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri pun tidak semeriah mereka di Langkawi dilayan serta diberikan bermacam-macam habuan.
Bermakna, jika dibenarkan Tun Mahathir mencalonkan namanya di semua kawasan Parlimen dalam pilihanraya kali ini, maka beruntung samalah mereka yang tinggal di tempat-tempat lain juga.
Tapi, apakan daya…Tun Mahathir hanya boleh bertanding di satu kawasan saja, maka buat sementara ini di situlah kawasan yang akan dijadikan tumpuan oleh UMNO dan BN untuk menewaskan bakal Perdana Menteri itu.
Namun, jika rakyat seluruh Malaysia ingin sama mendapat nikmat dan keselesaan selepas ini, apa yang perlu mereka lakukan bukan saja memastikan Tun Mahathir menang di Langkawi, tetapi juga menjadikan Pakatan Harapan sebagai kerajaan baru bagi negara ini.
Kemenangan Pakatan Harapan adalah kemenangan bagi rakyat dan menjamin keselesaan berterusan buat seluruh rakyat negara ini.
 

Pakatan Harapan adalah kerajaan demokrasi yang ada perasaan dan hati, bukannya bercirikan kleptokrasi.

– http://shahbudindotcom.blogspot.co.id

.