BN JOHOR JANJI KALAHKAN MUHYIDDIN

Selepas Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengesahkan beliau akan bertanding di kerusi DUN Gambir, BN Johor berjanji untuk memastikan bekas timbalan perdana menteri itu kalah dalam semua kerusi yang ditandinginya.

Pengerusi BN Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, sementara Muhyiddin bebas bertanding di mana-mana sekali pun, tetapi BN tetap bertekad untuk mengalahkannya di semua kerusi itu, lapor Utusan Online.

“Dalam pilihan raya, setiap parti hendak pastikan lawan mereka tidak menang. Seperti mana dia hendak pastikan saya kalah, saya pun akan pastikan dia kalah.

“Kita akan pastikan Muhyiddin kalah di semua kerusi yang dia bertanding,” kata Khaled.

Ketika bercakap di sebuah kedai kopi di Bukit Gambir semalam, Muhyiddin mengumumkan beliau akan bertanding di kerusi negeri, yang boleh membuka jalan untuk menjadi calon menteri besar.

Muhyiddin telah berkhidmat sebagai Menteri Besar Johor dari 1986 hingga 1995, sebelum dilantik ke jawatan persekutuan.

Harapan setakat ini tidak dapat menamakan seorang calon menteri besar kerana bimbang maklum balas dari pihak istana Johor.

Penyandang ADUN Gambir ialah Datuk M Asojan daripada MIC, yang menang pada 2013 dengan majoriti tipis 310 undi mengalahkan calon PAS Datuk Mahfodz Mohamed.

Ia merupakan kerusi campuran dengan 40 peratus pengundi Cina dan 53 peratus pengundi Melayu.

Selain Gambir, Muhyiddin juga dijangka mempertahankan kerusi Parlimen Pagoh yang disandang beliau.

– M’kini

.