MARANG KAWASAN ‘PANAS’

PARLIMEN Marang adalah kawasan ‘panas’ di Terengganu, malah menjadi tumpuan apabila Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang bertanding di sini, sejak 1978.

Beliau yang juga penyandang kerusi di Dun Rhu Rendang, satu daripada empat kerusi Dun dalam Parlimen Marang dijangka mengekalkan kedua-dua kerusi disandangnya itu pada PRU14.

Mungkin ada pihak tidak yakin beliau akan mengekalkan kemenangan itu, namun ada juga pihak berpendapat masih belum tiba masanya pemimpin utama Pas itu berundur.

Ini kerana, di sini terletaknya Rusila, yang menjadi pengkalan pengaruh Abdul Hadi walaupun beliau pernah kalah di kerusi Parlimen, namun kedudukannya terus kukuh dengan sokongan ahli parti.

Mampukah gandingan barisan calon BN dan juga calon Harapan yang bakal bertanding di kerusi Parlimen Marang dan empat kawasan Dun di Parlimen berkenaan melenyapkan pengaruh Presiden Pas?

Berdasarkan perkembangan semasa, ada kalangan pemerhati politik menjangkakan tidak mustahil calon BN mampu buat kejutan besar, malah siapa tahu calon Harapan juga mampu.

Ketua Umno Bahagian Marang, A Latiff Awang turut yakin peluang tetap ada buat BN, tambahan calon dan parti akan bertanding masih belum diputuskan, mungkin satu lawan satu atau tiga penjuru.

“Cuma yang pasti sama ada satu penjuru atau dua penjuru, kita lihat peluang masih berpihak kepada kita untuk menawan kembali (kerusi Parlimen Marang). Peluang untuk kita cerah,” katanya.

Kerusi Parlimen Marang dan Dun Rhu Rendang dianggap kubu paling kuat Pas di Terengganu apabila kerusi tersebut dikuasai oleh Abdul Hadi yang juga Naib Ketua Kesatuan Ulama Sedunia.

Pada PRU13, Abdul Hadi berjaya mempertahankan kerusi Parlimen Marang dengan majoriti 5,124 undi dan di kerusi Dun Rhu Rendang dengan majoriti 2,819 undi.

Pas Terengganu turut menguasai Dun Bukit Payong menerusi Ketua Penerangan Pas negeri, Mohd Nor Hamzah dan Pengarah Pilihanraya Pas negeri, Ariffin Deraman di Dun Alur Limbat.

Mengulas lanjut, A Latiff berkata, keyakinannya itu juga berdasarkan kebangkitan rakyat dan juga pengundi BN yang semakin meningkat di Parlimen Marang yang dapat dilihat pada program anjuran BN.

“Lagipun, sepanjang (satu penggal) selepas PRU13, ‘servis’ kita agak menyeluruh dengan mengambil kira semua aspek dari segi kebajikan rakyat, pembangunan, infrastruktur di semua Dun,” katanya.

Dun Pengkalan Berangan dikuasai BN

A Latiff adalah calon tunggal BN di Parlimen Marang apabila berjaya mengekalkan Dun Pengkalan Berangan pada PRU13 setelah menewaskan calon Pas, Sulaiman Sulong dengan majoriti 1,848 undi.

Namun pada PRU14, BN bukan sahaja bakal berdepan dengan Pas, tetapi juga dengan Pakatan Harapan, sekali gus merancakkan lagi persaingan.

Tidak dapat dinafikan penyokong tegar Pas dan presiden parti itu akan bekerja bermati-matian bagi memastikan kemenangan di Dun Pengkalan Berangan menerusi kekuatan jentera pemudanya.

Berbalik kepada pembangunan, Dun Pengkalan Berangan juga dilihat tidak ketinggalan apabila pelbagai projek pembangunan dilaksanakan kerajaan BN sebaik sahaja PRU13 berakhir sehingga kini.

Antaranya bangunan perkedaian dua tingkat di Binjai Rendah yang menelan belanja RM8.2 juta sedang dalam pembinaan dan dijangka siap sepenuhnya Jun nanti.

Selain itu, sebuah projek perbandaran bersepadu sedang dibangunkan di Wakaf Tapai dengan nilai pembangunan kasar lebih RM200 juta mengetengahkan konsep pembangunan lestari.

Ia melibatkan pembinaan 685 unit kediaman dan komersial di tapak seluas hampir 27 hektar manakala jambatan Pulau Ranggut di Mercang pula dengan kos RM2 juta juga sedang dalam pembinaan.

Bagi kepentingan masyarakat nelayan dan aktiviti pelancongan, projek pemecah ombak di muara Sungai Mercang yang melibatkan peruntukan RM43 juta dijangka akan dilaksanakan tahun ini.

Semua perkembangan itu akan turut dilengkapi dengan Rangkaian Rel Pantai Timur (ECRL) merentasi daerah ini yang kelak bakal merancakkan lagi kegiatan ekonomi sekitar selain meningkatkan lagi nilai hartanah.

Walaupun Marang umumnya dikuasai pembangkang, namun pembangunan tetap diagihkan secara menyeluruh.

– Sinar Harian

.