MCA: HADI CUBA ‘HIJACK’ ISLAM

Ketua Biro Keharmonian Kaum dan Agama MCA Datuk Seri Ti Lian Ker menyifatkan kenyataan presiden PAS sebagai percubaan “merampas” (hijack) Islam untuk agenda politik.

Ti merujuk kenyataan Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang disiarkan Harakahdaily sebelum ini yang menyifatkan ramai pihak yang “tidak faham bahawa bernegara dan berpolitik menjadi sebahagian daripada ajaran Islam, atau mereka sengaja mahu memusuhi Islam.”

Sebaliknya, kata Ti, kebanyakan rakyat menerima dan menghormati bahawa isu bernegara dan berpolitik tidak boleh dipisahkan dalam Islam.

“Jadi adalah tidak benar apabila Presiden PAS Hadi Awang menuduh bahawa sesiapa yang tidak bersetuju dengan PAS atau Hadi Awang adalah sengaja mahu memusuhi Islam.

“Ini menunjukkan PAS dan Hadi Awang terlalu angkuh dengan cubaan menyamakan diri dan parti dengan Islam,” katanya.

Amanat Hadi

Sehubungan itu, Ti turut  mengingatkan berkenaan “Amanat Hadi” dan mendakwa ia bertentangan dengan ajaran Islam sebenar.

“Dahulunya Hadi melalui ‘Amanat Hadi’ telah mengkafirkan Umno sebab berkerjasama dengan parti-parti komponen yang bukan Islam tetapi kemudiannya PAS sendiri bersekongkol dengan DAP.

“Ini jelas menunjukkan bahawa ‘Amanat Hadi’ adalah mainan politik PAS dan Hadi Awang dan ia bertentangan dengan ajaran Islam yang sebenar.

“Adalah salah dari segi prinsip rukun agama dan politik struktur PAS apabila Hadi Awang dengan sewenang-wenangnya membuat interpretasi ajaran agama Islam yang suci dan murni melalui kaca mata politiknya secara peribadi,” katanya.

‘Amanat Hadi’ merupakan kenyataan kontroversi Hadi yang dibuat pada April 1981 yang mengandungi gesaan menentang Umno kerana “mengekalkan perlembagaan penjajah, peraturan kafir, dan jahiliah” dan menyifatkan perjuangan menentang Umno sebagai jihad.

Ketepi Majlis Syura Ulama

Dalam kenyataan sama, Ti berkata, presiden PAS itu tidak seharusnya mengenepikan peranan Majlis Syura Ulama dengan mengeluarkan pendapat peribadi.

Menurut Ti, Hadi Awang seakan-akan mengambil-alih kuasa Majlis Syura Ulama sejak pemergian Tok Guru Nik Aziz dan perkara itu tidak selaras dengan semangat dan peranan kewujudan Jawatankuasa Pusat dan Majlis Syura.

“Hadi Awang nampaknya semakin diktatorial dan dominan sejak akhir-akhir ini dalam parti.

“Kalau dahulunya Presiden PAS akan menghormati pandangan dan peranan Tok Guru Nik Aziz sebagai Ketua Majlis Syura, kininya amalan ini semakin tidak wujud dan menghilang.

“Adalah juga salah dari segi amalan Islam apabila Hadi Awang membuat tafsiran Islam secara peribadi tanpa melibatkan ulamak-ulamak lain dari luar parti PAS atau negara Malaysia,” katanya.

Ti turut menegaskan pandangan peribadi Hadi yang berbau perkauman dan mempunyai motif politik tidak akan disetujui oleh ulamak-ulamak lain di dalam dan luar negeri.

Kenyataan bercanggah

Dalam sebuah artikel yang disiarkan Harakahdaily 22 Disember lalu, Hadi menegaskan bahawa ajaran Islam menetapkan “ketua negara dan anggota kabinet perlu berakidah Islam dan daripada bangsa paling berpengaruh”.

Dalam artikel sama, Hadi menambah, Islam memberi hak yang lebih besar kepada penganut agama lain dalam urusan kehidupan berbanding yang diberikan agama atau ideologi lain.

Susulan itu, akhbar tempatan melaporkan berita bertajuk “PAS president: All-Malay cabinet members for Malaysia” (Presiden PAS: Anggota Kabinet Melayu untuk Malaysia) dengan mendakwa dalam artikel itu Hadi cuba berkata hanya pemimpin Melayu dan beragama Islam boleh menjadi menteri di Malaysia.

Ketua Penerangan PAS Pusat Nasrudin Hassan bagaimanapun menafikan perkara itu dan mendakwa artikel Hadi itu telah dilaporkan secara salah oleh beberapa agensi berita.

Merespons kepada perkara itu, Ti berkata kenyataan Hadi itu bercanggah.

“Secara umumnya Hadi Awang menyatakan Islam menghormati dan menjamin hak-hak masyarakat bukan Islam tetapi dalam pada itu, beliau mengenepikan hak-hak masyarakat bukan Islam untuk diwakili dalam kabinet atau pentadbiran atas kuasa majoriti Melayu dan Islam .

“Ini sudah jelas bercanggah dan bertentangan dengan kenyataan Hadi bahawa Islam menjamin hak bukan Islam dan akan berlaku adil pada mereka,” katanya.

Ti turut menegaskan bahawa MCA berpendapat dan percaya bahawa PAS dan kenyataan Hadi Awang tidak mencerminkan ajaran Islam yang sebenar.

“Kenyataan Hadi yang tidak jitu menunjukkan PAS dan Hadi Awang lebih mengutamakan agenda politik mereka daripada niat menegakkan ajaran dan rukun agama Islam yang sebenar,” katanya.

– M’kini

.