KRITIK SULTAN JOHOR: ZAMIHAN DITAHAN POLIS

KUALA LUMPUR – Polis telah menahan Presiden Pertubuhan Ahli Sunnah Waljamaah Malaysia (Aswaja) Zamihan Mat Zin yang didakwa mengkritik Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar dalam kuliah agama pada hari Ahad lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Wan Ahmad Najmuddin Mohd berkata, penahanan dibuat kira-kira jam 3.50 petang tadi, di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi.

“Kita akan dapatkan perintah reman esok dari mahkamah untuk menjalankan siasatan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 4 Akta Hasutan,” katanya ketika dihubungi.

Hari ini, Ketua Polis Negara, Mohamad Fuzi Harun dalam sidang media berkata, pihaknya telah menerima laporan polis sejak semalam terhadap presiden Aswaja itu.

Dalam video terbabit, Zamihan juga didakwa membuat kenyataan perkauman tentang masyarakat Cina.

Susulan itu, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata kementeriannya akan menyiasat perkara itu dan mengambil tindakan segera berhubung ucapan itu.

– http://www.sinarharian.com.my

.