7 HARI SELEPAS SELIPAR DAN SUAR DIBALING

Seminggu lalu, pada hari ini ia berlalu. Namun selepas tujuh hari bau asap suar seakan-akan masih melekat di pakaian. Imej-imej kasut, selipar dan kerusi terbang masih jelas terbayang dalam kepala seolah-olah ia baru semalam terjadi.

Sebagai wartawan ditugaskan untuk melaporkan program Nothing To Hide 2.0 itu, ia adalah tanggungjawab yang berat, berdasarkan pengalaman melaporkan Nothing To Hide pertama di PWTC dulu.

Dua tahun lalu, bekas perdana menteri selama 22 tahun Tun Dr Mahathir Mohamad hanya sempat berucap kira-kira lima minit sebelum polis menamatkan ucapannya dan diiring keluar dari forum itu.

Hati berbisik: sesuatu akan berlaku.

Hari ini pada minggu lalu rupa-rupanya aku akan menulis sejarah buat tokoh yang digelar pengagumnya sebagai Bapa Pembangunan Negara.

Pada hari kejadian, aku tiba lebih awal ke lokasi forum di Seksyen 7 Shah Alam. Disebabkan masih ada waktu, aku memerhatikan peserta yang hadir dan mendaftar.

Biasa-biasa saja mereka, kecuali sekumpulan remaja yang aku jangka berusia lingkungan 20 tahun.

Ia agak pelik kerana pada usia begitu mereka hadir. Pada tangan sesetengah mereka kelihatan gumpalan kain merah yang kemudian kulihat adalah baju T bertulis ARMADA.

Sebahagian daripada mereka pula lebih pelik – berkaca mata tanpa cermin.

Aku sempat tergelak kecil kerana fesyen rambut yang digayakan mereka pelik dan jelik. Ada yang botak di depan tapi berekor di belakang, ada juga yang berambut namun dibuat beberapa garisan halus dikepala.

Ah fesyen anak muda masa kini, dugaku.

Tak ada reaksi

Kira-kira jam 3.30 petang, aku masuk ke dewan. Semua peserta sudah siap mengambil tempat. Aku anggarkan sekitar 500 orang memenuhi dewan yang disusun ala dialog Transformasi Nasional 2050 (TN50) idea Datuk Seri Najib Razak.

Beberapa ruang dipecah-pecah, dengan satu ruang khas untuk delegasi tetamu undangan; satu bahagian lagi, ruang khas untuk pengamal media; manakala beberapa baris kerusi kelabu disusun di belakang pentas, untuk pimpinan Pakatan Harapan (HARAPAN).

Dr Mahathir yang mengenakan baju warna tema Parti Pribumi Bersatu (BERSATU) mengambil tempat di bahagian tengah manakala sebuah kerusi lagi ditandakan dengan nama “Najib Razak” dibiarkan kosong.

Dr Mahathir, usianya sudah 92 tahun, tapi dia tetap kelihatan sihat, bersemangat dan tiada tongkat menyokongnya. Dia masih dapat berdiri dengan tegap.

Sesi soal jawab itu pada mulanya berlangsung dengan aman dan santai. Dr Mahathir menjawab setiap persoalan dengan bersahaja.

Namun, aku sempat memerhatikan gelagat anak muda yang aku jumpa di meja pendaftaran sebentar tadi. Mereka tidak memberi sebarang reaksi terhadap jawapan Dr Mahathir sehinggalah soalan berkaitan Datuk Seri Anwar Ibrahim diajukan kepadanya.

Tiba-tiba penyelaras program itu Mohd Ashraf Mustaqim Badrul Munir menghampiriku dan memaklumkan, terdapat kumpulan remaja yang bukan dari parti itu di situ.

Dia juga memintaku untuk memerhati keadaan sekeliling.

Pada ketika itu, individu bernama Fariz Hadi bertanyakan soalan mengenai Anwar dan apakah Dr Mahathir sedia untuk meminta maaf kerana memenjarakan bekas timbalannya itu.

Tak dapat dibendung

Selepas soalan diajukan kepadanya, kedengaran tepukan tangan dari kumpulan remaja pelij tadi meskipun Dr Mahathir masih belum memberikan jawapan.

“Saya jumpa dengan Anwar. Yang peliknya dia tidak tanya soalan itu. Anwar tidak tegur saya buat aniaya kepada dia atau tidak. Itu (isu tuduhan mahkamah) perkara lama.

“Kalau kita nak ungkit perkara lama, sampai sudah tak habis. Saya jumpa Anwar banyak kali, Anwar tak minta pun saya minta maaf,” kata Dr Mahathir, menyebabkan keadaan sedikit tegang.

Kemuncaknya tiba apabila bekas exco ARMADA Mohamad Taufik Abas bertanyakan mengenai kejadian Memali yang berlaku 32 tahun dahulu.

Dr Mahathir mempertahankan tindakan polis dalam tragedi pada 1985, menyebabkan ‘kemarahan’ sebahagian peserta forum itu tidak dapat dibendung.

Maka terjadilah aksi baling kasut, suar dan kerusi kepada bekas perdana menteri itu.

Pada ketika itu aku yang berada dari arah kanan pentas melihat kasut bewarna hitam terbang ke arah Dr Mahathir, diiukuti selipar dan akhirnya suar, menyebabkan petugas keselamatan program berkerumun kearah Dr Mahathir dan cuba membawanya keluar dari situ.

Dewan kecoh, pihak keselamatan cuba menangkap orang yang mula-mula membaling kasut, selipar dan suar itu. Maka berlaku pergaduhan di dalam dewan itu.

Di sebelah kawasan pengamal media pula, jurufoto dan juruvideo berlari laju kearah suar tersebut bagi mengambil imej terbaik, manakala wartawan pula turut memerhatikan keadaan sekeliling.

Siapa halang pintu

Dalam keadaan yang kecoh itu itu, asap dari suar mula memenuhi dewan kecil itu, dan aku dan rakan wartawan meja bahasa Cina, Yap Jia Hee, tidak ada pilihan yang banyak selain cuba keluar dari pintu yang paling hampir dengan kami, iaitu pintu belakang.

Ketika itu, pengawal keselamatan cuba menolak daun pintu bagi membolehkan kami serta suami isteri yang membawa anak lelaki berumur dalam lingkungan 5 hingga 6 tahun keluar.

Pelik lagi – ada beberapa individu yang menghalang kami dari keluar dengan menahan daun pintu.

Maka berlakulah tolak-menolak dari dua arah.

Setelah berjaya keluar, aku mendapati pergaduhan masih belum selesai, malah turut kelihatan remaja yang berlari sambil membuka baju ARMADA dan membuangnya sebelum keluar dari pagar bangunan itu.

Dalam kekecohan itu, ada tiga remaja lelaki ditahan kerana dipercayai mencetuskan kekecohan, namun satu lagi kepelikan – tidak kelihatan anggota polis mengawal keadaan.

Seorang teman wartawanku Radzi Razak turut cedera terkena kerusi ketika kejadian itu berlaku.

Dalam sidang media selepas itu Ketua ARMADA Syed Saddiq berkata Dr Mahathir tidak mengelami sebarang kecederaan serta meminta supaya perjuangan mereka diteruskan.

Habis di situ, aku pulang dengan keadaan lesu, dan aku jangka minggu ini suasana berita akan terus dihangatkan dengan innsiden Nothing to Hide 2.0.

Pelik dan pelik

Memang benarlah. PAS menuntut suatu suruhanjaya siasatan diraja (RCI) ditubuhkan. Parti itu menegaskan tujuannya bukan untuk membuat serangan peribadi kepada Dr Mahathir.

PAS juga menuntut supaya Dr Mahathir membuat permohonan maaf sekiranya beliau memang tidak terlibat dalam insiden yang menyebabkan hampir 20 orang terbunuh lebih tiga dekad lalu. Pun pelik juga.

Ketua Umno Sungai Besar Datuk Seri Jamal Yunos turut mengadakan sidang media dan membuat pengumumam bahawa dia mahu menganjurkan Nothing To Hide 0.3. Lagu satu pelik walaupun tidaklah terlalu pelik.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar dalam sidang medianya juga turut berkata pihaknya tidak mengawal keadaan memandangkan penganjur program itu tidak menjemput mereka mengawal keselamatan.

Katanya, anggota polis hanya mengawal di luar Dewan Raja Muda Musa, Shah Alam sahaja ketika majlis berlangsung.

Khalid turut mengesahkan seramai 13 pesalah telah ditahan serta pihaknya juga akan mengambil tindakan kepada penganjur yang gagal menjamin keselamatan peserta.

Dr Mahathir dalam sebuah rakaman video berkata beliau tidak sesekali gentar dengan apa yang berlaku malah terus bersedia menghadapi cabaran dalam politik.

Bekas perdana menteri keempat itu turut menasihati semua penyokongnya serta parti pembangkang lain supaya terus berani dalam berhadapan dengan cabaran politik dalam menjatuhkan Najib.

Kesudahan kekecohan selepas Nothing To Hide nampaknya belum tiba. Namun memang ada beberapa isu yang perlu diuruskan. Bilakah episod ini akan selesai adalah isu lain yang menarik untuk ditunggu.

– M’kini

.