MARAH DAN TERKEJUT, SUSPEK TAHFIZ TERBAKAR MASIH BUDAK

TERKEJUT, marah dan sedih berbaur pada sebahagian penduduk Kampung Datuk Keramat selepas pecah berita tujuh budak lelaki dalam kalangan masyarakat setempat disiasat berhubung kematian 23 mangsa kebakaran di pusat tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, Subuh Khamis lepas.

Diana Salamin terkejut apabila mendapat tahu usia suspek yang masih muda dan polis menyiasat kes sebagai bunuh dan khianat dengan api. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 17 September, 2017.
Diana Salamin terkejut apabila mendapat tahu usia suspek yang masih muda dan polis menyiasat kes sebagai bunuh dan khianat dengan api. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 17 September, 2017.

Penduduk di perkampungan Melayu di tengah bandar tidak jauh dari Menara Berkembar Petronas ini berkata mereka tidak begitu sedar masalah budak-budak nakal dan salah laku remaja di kawasan itu kerana kebanyakan orang masing-masing buat hal sendiri.

Segelintir mereka menyalahkan “dunia moden” yang menyeret budak-budak muda itu jadi nakal begitu.

Polis semalam mengumumkan kes kebakaran yang membunuh 21 pelajar dan dua guru pusat tahfiz itu selesai dengan penahanan tujuh budak lelaki berkenaan.

Mereka yang direman sehingga 22 September itu berumur antara 11 hingga 18 tahun.

Kesemuanya tidak bersekolah. Enam daripadanya disahkan positif dadah dan dua mempunyai rekod lampau jenayah.

Diana Salamin yang sudah lama menetap di situ berkata kebanyakan remaja di kawasan itu selalunya tahu membawa diri. Dia mengaku terkejut apabila mendapat tahu usia mereka yang ditahan dan tambah terkejut apabila dimaklumkan polis menyiasat kes sebagai bunuh dan khianat dengan api.

“Saya tak tahu pasal masalah geng di sini. Saya cuma tahu memang ada budak-budak berlonggok di kedai kopi setiap malam minggu, dan tak lama lepas itu, mereka pergi.

“Saya duduk di sini sudah tiga generasi sejak 1973. Tak pernah saya dengar ada kejadian bakar rumah macam ini.

“Budak-budak itu (kadang-kadang) kurang ajar sedikit tetapi tak kacau orang. Tak sangka pula mereka buat macam ini,” kata ibu anak satu, berumur 34 tahun itu, kepada The Malaysian Insight malam tadi.

Siasatan awal polis mempercayai kejadian bermula daripada perselisihan faham setelah berlaku ejek-mengejek antara suspek dan pelajar tahfiz itu beberapa hari sebelum pusat tahfiz berkenaan dibakar. Siasatan bagaimanapun masih dijalankan, kata polis.

FOTO PENGEBUMIAN MANGSA TAHFIZ TERBAKAR

Nur Hayati Abdul Halim pula berkata kalau pun ada masalah budak nakal dan tercicir sekolah, masyarakat umumnya memejamkan mata sebelah.

“Orang di sini buat hal masing-masing. Macam saya, awal pagi dah keluar hantar anak sekolah. Balik kerja hari dah gelap. Badan dah penat. Tak ada masa nak tahu hal orang lain.

“Selalunya, kita buat hal masing-masing. Saya balik rumah, tutup pintu. Saya tak fikir apa jadi di luar,” kata wanita berusia 46 tahun itu.

Ahmad Azirul Azmi dan isterinya Lia Fazlina Mustaffa ketika ditemui di depan pusat tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Kampung Datuk Keramat, Kuala Lumpur, malam tadi. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 17 September, 2017.
Ahmad Azirul Azmi dan isterinya Lia Fazlina Mustaffa ketika ditemui di depan pusat tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Kampung Datuk Keramat, Kuala Lumpur, malam tadi. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 17 September, 2017.

Dia yang tinggal di situ sejak lebih sembilan tahun lepas berkata tidak pernah dengar cerita tentang samseng, penagih dadah atau budak nakal.

“Kalau pun ada, saya rasa mereka buat hal sendiri-sendiri. Itu sebab saya terkejut dengar berita ini,” katanya.

Seorang lagi ibu bagaimana pun berkata kawasan itu diketahui ada masalah penagihan dadah dalam kalangan remaja namun menegaskan ia masalah terpencil.

“Kawasan ini memang ada masalah dadah. Bukan saja di sini tetapi keliling kawasan ini, ramai. Bayangkan budak tujuh, lapan tahun hisap rokok selamba saja tak pedulikan orang,” kata Lia Fazlina Mustaffa yang ada seorang anak.

“Kalau ditegur, mak ayah datang ketuk pintu tanya kenapa sibuk pasal anak dia,” katanya.

Seorang guru, Abdullah Mohd Zamri pula berkata beliau tidak terkejut suspek merupakan budak bawah umur kerana “budak-budak zaman sekarang apa pun dia buat”.

“Saya tidak marah cuma sedih. Sedih sebab ada lagi masyarakat kita ambil mudah tentang perkara ini, tiada sifat kemanusiaan,” kata guru berumur 24 tahun itu yang mengajar di Sekolah Kebangsaan Danau Kota 2.

Muhamad Hafiz Johari berkata beliau tidak terkejut suspek masih budak dan menyalahkan bagaimana gaya dan sikap hidup moden mengubah cara orang berfikir. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 17 September, 2017.
Muhamad Hafiz Johari berkata beliau tidak terkejut suspek masih budak dan menyalahkan bagaimana gaya dan sikap hidup moden mengubah cara orang berfikir. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 17 September, 2017.

Beliau bukan penduduk Kampung Datuk Keramat tetapi berada di kawasan itu ketika didekati oleh The Malaysian Insight malam tadi.

Katanya, pusat tahfiz itu sepatutnya membuat latihan kebakaran dan memastikan asramanya ada alat pemadam api.

Beliau juga berpendapat kalau dalam hukum Islam, mereka yang bersalah membakar pusat tahfiz itu hukumannya “bunuh dibalas bunuh”.

“Tetapi kita serah sajalah pada pihak berkuasa,” tambahnya.

Muhamad Hafiz Johari yang tidak menetap di kawasan itu berkata beliau tidak terkejut suspek masih budak dan menyalahkan bagaimana gaya dan sikap hidup moden mengubah cara orang berfikir.

Namun beliau menyeru masyarakat supaya jangan berdendam.

“Saya tak terkejut, saya reda cuma harap masyarakat tidak terlampau menghukum apa yang berlaku. Jangan ada sifat dendam.”

– https://www.themalaysianinsight.com

.