Polis dikecam tangkap wanita berpantang di tengah malam

Wanita PKR mengecam tindakan polis sekali menahan individu kontroversi “Ratu Naga” atau nama sebenar Syarul Ema Rena Abu Samah di tengah malam ketika masih berpantang selepas melahirkan.

Ketuanya Zuraida Kamaruddin berkata tindakan itu dilihat tidak perikemanusiaan dan tidak menghormati beliau sebagai seorang ibu dan wanita.

“Apakah ini yang dimaksudkan moto PDRM (Polis Diraja Malaysia) iaitu Tegas, Adil dan berhemah?

“Tegas dalam memaksa seorang wanita yang dalam pantang ke balai polis pada tengah malam?” sindirnya yang juga anggota parlimen Ampang.
Ratu Naga sekali lagi dikunjungi anggota polis pada kira-kira 12.30 tengah malam Selasa, kira-kira sebulan selepas melahirkan seorang bayi perempuan.

Katanya, anggota polis berpakaian biasa itu bertegas membawa beliau ke balai polis Klang Selatan walaupun diberitahu sedang berpantang dan terpaksa meninggalkan anak.

Malah, katanya, anggota polis berkenaan masuk ke rumahnya di Jalan Kelang Lama, Kuala Lumpur untuk melihat sendiri bayinya sedang tidur dalam bilik.

Ratu Naga berkata dia sekali ditanya berhubung tulisan di media sosial berkaitan Sultan Pahang dan isteri perdana menteri Rosmah Mansor semasa majlis rumah terbuka Datuk Seri Najib Razak di Pekan sempena Aidilfitri lalu.

Pada 2 Ogos lalu seramai 14 anggota polis dari Bukit Aman dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia menyerbu rumah Syarul Ema ekoran laporan polis terhadap tulisan di Facebooknya serta tiga akaun lain.

Sementara itu, Zuraida mempertikaikan apa yang dirujuknya sebagai “kesalahan kecil” yang dititikberatkan kes besar seperti 1MDB.

“Adalah sangat menjengkelkan apabila keutamaan sekali lagi disalah gunakan hanya kerana pihak polis harus tunduk pada arahan yang bermotifkan politik untuk menutup kesalahan seseorang individu tersebut,” katanya.

– M’kini

.