50% PEMBELI RUMAH HADAPI MASALAH PEMBIAYAAN, KATA PEMAJU

PEMBELI rumah yang mengalami masalah pembiayaan bank adalah antara punca mengapa pemaju berdepan pasaran yang sukar pada separuh pertama tahun ini, menurut tinjauan oleh Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan (Rehda) hari ini.

Ia mendapati 52% pembeli rumah tidak berjaya memperoleh pembiayaan daripada bank bagi rumah kos rendah hingga sederhana dalam lingkungan RM100,000 hingga RM500,000.

Presiden Rehda Fateh Iskandar berkata unit tidak terjual adalah isu utama yang dihadapi pemaju susulan masalah pembiayaan dan penolakan pinjaman di kalangan pembeli.

“Sekurang-kurangnya 73% daripada responden (pemaju) berkata pembeli rumah menghadapi masalah pembiayaan.

“Pembeli menjangkakan pinjaman 90% tetapi bank hanya memberi pinjaman antara 70% hingga 75%.

“Akhirnya mereka perlu mengeluarkan lebih banyak wang bagi bayaran pendahuluan yang mana mereka sebenarnya tidak mampu,” katanya pada sidang akhbar di pejabat Rehda, Petaling Jaya.

Fateh juga mengatakan antara isu lain yang dihadapi oleh pembeli adalah sejarah kredit, ketidakpastian pembeli dan permintaan oleh bank untuk lebih banyak dokumen.

Umur pembeli rumah kali pertama adalah antara 25 hingga 30 tahun, katanya.

“Mereka memerlukan bantuan pembayaran pendahuluan sebanyak 10%, malah pemaju telah mengambil inisiatif meningkatkan jualan dengan membantu pembeli rumah melalui deposit 10% dan mengkaji semula harga,” katanya.

Kajian itu dijalankan dengan 153 pemaju di seluruh negara yang merupakan ahli Rehda.

Menurut pemaju yang ditinjau, 41% unit yang tidak terjual adalah hartanah di bawah harga RM500,000 yang terletak di Johor, Kedah, Melaka, Pahang, Perak dan Perlis.

THE MALYSIAN INSIGHT

.