40 TAHUN BERBAKTI, JASA KHALID BAKAR PASTI DIKENANG

KETUA Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar akan bersara bulan depan, selepas 40 tahun berkhidmat dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Khalid yang berasal dari Seremban, Negeri Sembilan dilantik sebagai Ketua Polis Negara pada 17 Mei 2013, menggantikan Tan Sri Ismail Omar yang tamat tempoh pelantikan secara kontrak.

Beliau yang akan genap berusia 60 tahun pada 5 September ini, mengakui tidak akan menyambung kontrak perkhidmatan sebagai Ketua Polis Negara selepas tarikh kelahirannya itu yang juga tarikh rasmi persaraannya.

Difahamkan, jawatan Ketua Polis Negara yang bakal dilepaskan akan dipangku Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim, 59, sementara menunggu pelantikan diumumkan secara rasmi.

Majlis persaraan Ketua Polis Negara itu akan diadakan di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur pada 4 September ini.

Tempoh empat tahun menyandang jawatan tertinggi PDRM itu, Khalid yang dilahirkan pada 5 September 1957 merupakan Ketua Polis Negara ke-10 dalam PDRM.

Sepanjang tempoh itu, pelbagai kes berprofil tinggi yang menjadi tumpuan dunia dikendalikan beliau. Antaranya:

1. Mac 2014 – Pesawat MH370, jenis Boeing 777-200, membawa 239 penumpang dan anak kapal berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 12.41 pagi dan dijadual mendarat di Beijing, China pada 6.30 pagi hari sama. Pesawat MH370 dilaporkan hilang daripada radar awam Jabatan Penerbangan Awam Malaysia (DCA) pada 1.30 pagi 120 batu nautika di timur perairan Kota Baharu, Kelantan

2. Julai 2014 – Pada 10.15 malam (waktu Malaysia) MAS mengesahkan ia menerima makluman daripada Trafik Kawalan Udara (ATC) Ukraine bahawa ia terputus hubungan dengan Penerbangan MH17 pada 1415 (GMT), di kedudukan 30km dari Tamak, kira-kira 50km dari sempadan Rusia-Ukraine. Berita antarabangsa melaporkan penemuan bangkai pesawat berhampiran perkampungan Grobovo, Ukraine di wilayah dikuasai pemberontak berhampiran sempadan Rusia apabila imej menunjukkan bangkai pesawat, mayat dan barangan peribadi bertaburan sejauh beberapa kilometer.

3. Oktober 2014 –  Seorang joki kereta maut manakala 13 lagi cedera, termasuk pelancong asing, selepas bom tangan buatan sendiri meletup di depan kelab malam Cherry Blossom di Bukit Bintang, dalam kejadian kira-kira 4.30 pagi.

4. Mei 2015 – Penemuan 139 kubur di 28 kem sementara sindiket pemerdagangan manusia antara  Kampung Wai di Kuala Perlis sehingga Tangga 100 di Felcra Lubuk Sireh, sepanjang 11 kilometer.

5. September 2015 – Pembunuhan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Anthony Kevin Morais yang mayatnya ditemui disimen di dalam tong dram di Subang Jaya.

6. November 2016 – Perhimpunan haram dari kumpulan berbaju kuning (Bersih 5) dan sekumpulan NGO berbaju merah berhimpun di ibu negara.

7.  Februari 2017 – Kim Jong-nam iaitu abang kepada pemimpin tertinggi Korea Utara, Kim Jong-un dibunuh di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur di Sepang, Selangor. Polis kemudian menahan dua wanita asing yang didakwa membunuh Kim Chol, atau Kim Jong-nam, iaitu Doan Thi Huong, 28, warga Vietnam dan warga Indonesia, Siti Aisyah, 25.

Khalid memulakan perkhidmatan dalam PDRM pada 5 Disember 1976 selepas tamat latihan di Pulapol Kuala Lumpur.

Selain itu, beliau yang pernah menyandang jawatan Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman pada November 2006 kemudian dinaikkan pangkat sebagai Ketua Polis Selangor pada 2 Julai 20017.

Pada 25 Oktober 2010, beliau menyandang jawatan Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam sebelum menjadi Timbalan Ketua Polis Negara pada 15 April 2011.

Pastinya, jasa dan sumbangan beliau dalam PDRM akan dikenang.

– M’kini

.