3 RISIKO JIKA RAKYAT TERMAKAN JANJI HARAPAN

Bajet alternatif yang dibentangkan Pakatan Harapan (HARAPAN) pada Oktober tahun lalu bakal membawa tiga kebarangkalian buruk sekiranya pembangkang diberikan mandat oleh rakyat pada pilihan raya umum ke-14 (PRU14) kelak, kata Exco Pemuda Umno Malaysia Shahril Sufian Hamdan.

Tiga kebarangkalian itu adalah sama ada janji (dalam bajet) tidak akan ditunaikan langsung; atau janji ditunaikan dan cukai barang dan perkhidmatan (GST) dimansuhkan tetapi cukai lain dinaikkan; atau janji ditunaikan dan GST dimansuhkan tetapi hutang pula mencapai jumlah yang besar mencecah sehingga RM150 bilion.

Menurutnya bajet yang ditawarkan HARAPAN; antaranya memansuhkan tol, menaikkan gaji minimum dan memaksa kerajaan membelanjakan sebahagian daripada kos kenaikan gaji minimum tersebut, dan menghapuskan yuran pengajian serta pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN); akan memberikan perbelanjaan tambahan sebanyak RM110 bilion setahun kepada kerajaan.

“RM110 bilion adalah kira-kira 40 peratus tambahan kepada perbelanjaan kerajaan yang sedia ada sekarang. Pada masa yang sama, dia nak tarik keluar pendapatan kerajaan sebanyak RM42 bilion yang dikutip pada masa ini melalui kutipan GST.

“Bermakna dia ada ‘lubang’ berjumlah RM152 bilion untuk dijelaskan dan jika mereka tidak mampu untuk menjelaskan bagaimana ‘lubang’ RM152 bilion ini akan ditutup, maka kita hanya boleh menyimpulkan tiga perkara tersebut akan berlaku, di mana akhirnya rakyat ditipu,” katanya kepada Bernama selepas sesi debat bersama Ketua Pemuda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (ARMADA), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (gambar) di Kuala Lumpur, malam tadi.

Sesi perdebatan hangat yang membincangkan agenda ekonomi kerajaan dan pembangkang menuju PRU14, merupakan sebuah acara dalam Sidang Kemuncak Pemimpin Pelajar Malaysia ke-11 yang dianjurkan oleh Majlis Perwakilan Pelajar Malaysia di United Kingdon dan Eire.

Dalam pada itu Shahril Sufian, yang merupakan lulusan Sarjana Muda Politik, Falsafah dan Ekonomi dari University of Manchester, United Kingdom, berkata semua kebarangkalian tersebut bakal membawa kesan buruk kepada rakyat.

“Sama ada rakyat kena tipu atau kerajaan terpaksa menanggung hutang yang begitu besar. Apabila kerajaan menanggung hutang sebesar itu, banyak limpahannya ke atas ekonomi negara dan pastinya bukan limpahan yang mendatangkan keuntungan.

“Secara konsep, pembangkang boleh menjual jalan cerita ini dan memainkan perasaan rakyat. Tetapi akhirnya bila berdiri di hadapan hadirin yang bijak menilai, saya tanya soalan mudah iaitu sama ada matematik dalam pengiraan bajet mereka boleh menjadi realiti atau pun tidak.

“…dan ternyata tidak boleh. Bermakna realitinya, matematik mereka pun tak betul. Macam mana kita hendak percaya konsep yang mereka canangkan apabila mereka tidak memperincikan lain-lain kos-kos yang terlibat?” katanya.

– Bernama

.