3 PELAJAR M’SIA DISIASAT POLIS MANCHESTER

Polis Manchester menahan tiga pelajar Malaysia sebagai sebahagian daripada siasatan pihak berkuasa England berhubung serangan bom di bandar raya itu.

Kenyataan Wisma Putra hari ini menyebut pelajar terbabit ditahan polis kira-kira jam 5.40 petang (waktu tempatan) semalam.

Mereka kemudian dibawa ke Balai Polis Longsight untuk diambil keterangannya sebelum dibebaskan kira-kira tiga setengah jam kemudian.

Wisma Putra juga menasihati rakyat Malaysia supaya berhati-hati.

“Warganegara Malaysia yang menetap di sekitar kawasan terjejas dinasihati supaya sentiasa berjaga-jaga dan patuh kepada arahan pihak berkuasa tempatan.

“Warga Malaysia yang berhampiran kawasan ini juga dinasihati melapor diri kepada Suruhanjaya Tinggi Malaysia di London,” kata kenyataan itu.

Manchester digegarkan dengan serangan bom sejurus selepas penyanyi Ariana Grande selesai membuat pesembahan, menyebabkan seramai 23 orang maut, termasuk pengebom berani mati, dikenali sebagai Salman Ramadan Abedi.
Kejadian berlaku di Manchester Arena.

Salman, 22, dilaporkan membawa bahan letupan ke kawasan konsert penyanyi AS itu sebelum meledakkannya.

Dia dipercayai sebahagian daripada anggota kumpulan pengganas.

– M’kini

.