3 INSIDEN YANG CEMARKAN TUJUAN PUASA

Sudah masuk minggu pertama bulan Ramadan al-Mubarak 1438H, bulan yang penuh keberkatan, semulia-mulia bulan.

Dalamnya diperturunkan al-Quran dan berlakunya peperangan Badr al-kubra, al-Yarmuk, al-Qadisiah, al-Hattin dan lain-lain bagi mempertahankan kebenaran dan keadilan.

Ia mengandungi sebaik-baik malam, iaitu Lailatul Qadar, yang lebih baik daripada seribu bulan.

Bermakna ia bukan bulan berlemah-lemahan tetapi bulan mujahadah, perjuangan penyucian jiwa, keluarga, masyarakat, negara dan dunia. Terbuka ruang seluas-luasnya kepada umat Islam untuk melipatgandakan amal soleh, ketaatan kepada Allah dan menabur bakti buat yang memerlukan.

Sementara yang dituntut ibadat puasa bukan hanya pelaksanaan syarat dan rukunnya, tetapi juga pencapaian hikmat dan matlamatnya iaitu meraih pelbagai manfaat dan maslahat kerohanian yang terumus pada kalimah takwa serta kemuncaknya pembebasan daripada belenggu nafsu.

Namun terdapat beberapa insiden yang mencemarkan maqasid atau tujuan puasa pada awal Ramadan ini.

Pertama, bantahan oleh sebuah badan bukan kerajaan Pulau Pinang terhadap Ketua Menteri Pulau Pinang daripada menghadiri majlis iftar atau berbuka puasa, melainkan beliau memeluk Islam.

Dalam insiden di atas, mengapakah segelintir umat Islam mengambil sikap menyempitkan ajaran Islam dengan larangan yang bukan menjadi hukum?

Apakah terdapat hukum yang melarang orang bukan Islam daripada menghadiri majlis berbuka puasa melainkan dia memeluk Islam? Tiada.

Dalam hal ini, orang bukan Islam meraikan majlis berbuka puasa anjuran oleh orang Islam dan sebenarnya terdedah kepada amalan Islam sama ada di majlis berkenaan atau dalam masjid dan surau.

Sudah tentu mereka wajar memahami adab dan tata susila di dalam masjid namun ia tidak sesekali menyebabkan mereka diasingkan terutama ketika majlis berbuka.

Dengan kefahaman yang lebih baik terhadap amalan Islam serta tindakan betul orang Islam, bukankah itu lebih bermanfaat untuk Islam sendiri, malah mana tahu, cahaya hidayah terbuka kepada Lim Guan Eng untuk memeluk Islam dengan rela hati.

Pendekatan yang lebih rahmah perlu diambil dalam urusan-urusan begini tanpa terbelenggu dengan nafsu.

Malang apabila yang menghalang bukan Islam daripada mengenal Islam ialah kadang kala orang Islam sendiri. Yang memberi gambaran Islam ditakuti bukan Islam, orang Islam juga.

Dan yang lebih parah, tindakan mereka itu dianggap perjuangan Islam.

Gambar tarawih

Kedua, akhbar The Star bertarikh 27 Mei memaparkan gambar umat Islam sedang menunaikan solat tarawih pada malam pertama Ramadan di muka hadapan di bawah tajuk berita berkaitan pengganas.

Pelbagai pihak yang mengutuk tindakan tersebut sebagai tidak peka dan mengundang imej negatif terhadap Islam, apatah lagi ia dilakukan oleh akhbar dalam negara, bukan laporan berita barat.

Meskipun The Star telah memohon maaf dan pihak Kementerian Dalam Negeri telah memanggil ketua pengarang akhbar berkenaan untuk memberi penjelasan, namun tindakan tersebut tidak sepatutnya berlaku sama sekali.

Ia seolah-olah mengaitkan Islam dengan keganasan sedangkan Islam itu rahmat bagi sekalian alam dan tidak bersifat ganas.

Malah Islam mengecam tindakan orang Islam yang cenderung kepada keganasan, perkauman dan memperalatkan agama untuk keganasan.

Apakah sidang pengarang The Star benar-benar tidak peka tentang ini? Menariknya, saya difahamkan akhbar Utusan dan New Straits Times juga memaparkan gambar solat tarawih berjemaah serta berita berkaitan keganasan pada muka hadapannya walaupun imejnya tidak sebesar The Star.

Setahu saya, paparan muka hadapan akhbar lazimnya mesti mendapat kelulusan ketua sidang pengarang.

Yang lebih membimbangkan jika akhbar perdana juga termakan dengan dakyah sebahagian pengkritik Islam bahawa Islam menyubur dan membenihkan keganasan.

Namun, sebenarnya yang lebih malang ialah apabila akhbar perdana tidak pula membawa berita yang lebih berbahaya buat negara iaitu dakwaan bahawa pentadbiran Datuk Seri Najib Razak membayar RM1 juta kepada bekas pembantu kempen Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump untuk melobi kerajaan Amerika Syarikat.

Ini perkara ketiga yang pada pendapat saya boleh mencemarkan tujuan puasa. Dakwaan menggemparkan yang dibuat oleh Rafizi Ramli, naib presiden PKR pada awal Ramadan bahawa Pejabat Perdana Menteri pernah melantik bekas pembantu Presiden Trump untuk melobi kerajaan Amerika Syarikat dengan bayaran sebanyak RM1.125 juta (atau AS$250,000).

Walaupun dinafikan oleh Pejabat Perdana Menteri melalui Setiausaha Media Perdana Menteri bahawa mereka tidak tahu menahu mengenai perkara itu kerana Pejabat Perdana Menteri atau Kerajaan Malaysia tidak pernah mengarahkan atau melantik firma-firma yang dinamakan dalam pengisytiharan yang difailkan dengan Jabatan Keadilan Amerika Syarikat, namun Pejabat Perdana Menteri tidak sedar bahawa satu lagi pengisytiharan tambahan telah difailkan oleh firma pelobi 45 Group yang dimiliki bekas pembantu Presiden Trump, Healy Baumgardner-Nardone.

Menurut Rafizi, pengisytiharan tambahan itu memberi maklumat yang lebih jelas mengenai siapa yang terlibat, siapa di belakang syarikat misteri Godfrey Group Limited yang menjadi pengantara di antara Pejabat Perdana Menteri dan pelobi di Washington serta perjanjian yang ditandatangani.

Beliau turut mendedahkan dokumen pengisytiharan yang secara jelas menunjukkan bahawa kerja-kerja melobi melibatkan pegawai-pegawai Kerajaan Malaysia.

Mujahadah tak kira siapa

Malah Najib sendiri dinamakan sebagai pegawai kerajaan yang akan berurusan dengan firma melobi ini.

Persoalan utama yang timbul ialah apakah 45 Group (yang dimiliki bekas pembantu Presiden Trump) telah berbohong apabila menamakan perdana menteri sebagai pegawai kerajaan Malaysia yang berurusan dengan beliau (Healy Baumgardner-Nardone) dan dari mana datangnya dana RM1.125 juta (atau AS$250,000) untuk membayar syarikat lobi 45 Group bagi kerja-kerja melobi bagi pihak kerajaan Malaysia?

Mungkin tindakan yang didakwa itu berlaku di luar waktu Ramadan namun jawapan yang telus dan tulus amat wajar diberikan untuk membersihkan nama perdana menteri ketika bulan Ramadan.

Ambillah kesempatan sepanjang Ramadan ini untuk bermujahadah melawan nafsu, tidak kira anda pemimpin nombor satu atau rakyat biasa.

Puasa memberikan kita keyakinan bahawa sesungguhnya kita mampu mengalahkan nafsu. Kemampuan mengalahkan nafsu adalah prasyarat untuk menang dalam menghadapi segala jenis perlawanan.

Semoga Ramadan kali ini lebih baik daripada masa-masa lalu. Semoga ibadat puasa yang dijalani mencapai maksud hikmat dan matlamat atau maqasid puasa iaitu pembebasan belenggu nafsu.

SYED IBRAHIM SYED NOH adalah ketua penerangan PKR

.