2018, TAHUN YANG LEBIH BAIK UNTUK NAJIB?

WALAUPUN penilaian penerimaan yang rendah dan dicemari skandal, 2017 merupakan tahun yang baik bagi Perdana Menteri Najib Razak. Tetapi 2018 dijangka akan lebih bagus.

Penganalisis berkata jika Najib yang mengetuai gabungan Barisan Nasional (BN) memang lagi dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), beliau akan hampir tidak mampu dikalahkan untuk tempoh lima tahun akan datang.

Dan kemungkinan satu lagi penggal untuk menerajui pimpinan, kata penganalisis, Hisommudin Bakar kerana pembangkang gagal menonjolkan dirinya sebagai satu alternatif yang bersatu dan meyakinkan berbanding BN.

Pencapaian terbesar Najib adalah memastikan PAS tidak bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH).

“Kerjasama dengan PAS memastikan kemungkinan besar kerusi Melayu akan jatuh ke tangan Umno,” kata penganalisis politik lain, James Chin.

Ini kerana PAS akan meletakkan calon menentang Pakatan Harapan (PH) dan Umno membawa kepada pemecahan undi anti BN, kata Chin. Perpecahan tersebut terbukti berdasarkan sejarah memberi kelebihan kepada BN.

Bagaimanapun, Najib masih mempunyai beberapa halangan dalam laluannya untuk memenangi pilihan raya lain, kata Hisommudin daripada Ilham Centre.

Faktor paling utama adalah kemarahan yang ketara daripada orang Melayu Islam – yang menjadi penyokong tradisionalnya – terhadap kerajaannya kerana inflasi yang tinggi, pertumbuhan gaji yang lemah dan pengangguran belia, kata Hisommudin.

Satu lagi ialah banyak skandal yang didedahkan daripada Felda. Terdapat 1.2 juta peneroka Felda dalam skim yang tersebar di 54 kawasan Parlimen.

Para pengundi ini juga menjadi penyokong setia kepada Umno dan penting untuk BN. Tetapi hutang daripada projek penanaman semula dan banyak tuduhan rasuah di Felda serta anak-anak syarikatnya membuatkan mereka tawar hati terhadap parti Melayu itu.

“Najib juga perlu berdepan dengan generasi pengundi reformasi antara 1998 hingga 1999. Mereka yang menolak BN pada pilihan raya umum 1999 kini berusia 50an dan 60-an,” kata Hisommudin.

“Pengundi Melayu bandar ini menolak BN pada 2013. Persoalannya, adakah gelombang penolakan ini boleh merebak hingga ke kawasan luar bandar.”

Lebih baik daripada 2016

Chin, daripada University of Tasmania, menggelarkan Najib sebagai “perdana menteri Teflon”, sempena jenama kuali popular yang tidak mudah melekat.

Penilaian penerimaan terakhir terhadap Najib oleh majalah Time, mengatakan di bawah 40% pada Mei.

Menurut kajian Merdeka Centre, rating penerimaannya adalah 65% ketika beliau mengambil alih pada 2009.

Usaha pihak pembangkang mengadakan siri jelajah ke seluruh negara untuk memberi penerangan mengenai skandal 1Malaysia Development Berhad berjaya ditepis oleh Najib Razak. – Gambar fail The Malaysian Insight, 2 Januari, 2018.
Usaha pihak pembangkang mengadakan siri jelajah ke seluruh negara untuk memberi penerangan mengenai skandal 1Malaysia Development Berhad berjaya ditepis oleh Najib Razak. – Gambar fail The Malaysian Insight, 2 Januari, 2018.

Pada pertengahan 2017, pentadbiran Najib terpaksa berdepan dengan pendedahan terkini dari siasatan Amerika Syarikat terhadap skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Najib, yang mengetuai lembaga penasihat 1MDB, menafikan segala salah laku.

Jabatan Kehakiman AS (DoJ) menganggarkan AS$4.5 bilion didakwa diselewengkan daripada firma pelaburan negara itu dan digunakan untuk membeli hartanah mewah, kapal layar, hasil seni dan barang kemas.

Namun, walaupun dengan siri jelajah untuk menghidupkan semula skandal dalam minda rakyat Malaysia, Najib masih dapat menyangkal tuduhan ini, kata Chin.

Lawatan beliau ke AS dan pertemuan dengan Presiden Donald Trump membungkam pengkritik yang mengatakan beliau menjadi individu dikehendaki di sana.

“Najib benar-benar memahami bagaimana orang Melayu berfikir. Beliau tahu tidak kira betapa buruknya skandal, jika anda menyeretnya cukup lama, kemarahan orang Melayu akan sejuk,” kata Hisomuddin.

Walaupun Najib selamat daripada pendakwaan sekarang, kemungkinan masih ada personaliti lain dalam siasatan itu yang boleh berpakat dengan pihak berkuasa AS dan membabitkan Najib, kata Chin.

Di dalam negara, beliau tidak dapat dikalahkan dalam Umno, kerana semua pengkritiknya, termasuk bekas mentor yang kini menjadi musuh ketatnya Dr Mahathir Mohamad sudah keluar untuk membentuk Bersatu.

Seorang pegawai Umno berkata parti itu sudah pulih daripada perpecahan Umno dan Bersatu yang bermula pada 2016.

“Mereka yang keluar beramai-ramai sudah berhenti. Malah, kita kini melihat orang Bersatu kembali kepada Umno selepas kecewa dengan parti,” kata pegawai parti itu yang enggan dinamakan.

Bagaimanapun, risiko masih ada bagi Najib dalam meneruskan penggal ketiganya.

Walaupun orang Melayu kelas bekerja bergelut dengan tekanan hidup, Hisommudin berkata, tinjauan di kalangan mereka menunjukkan tidak jelas sama ada kemarahan ini akan menjadi undi menentang Najib dan BN.

“Bila ditanya, mereka mengatakan tidak boleh hidup di bawah ekonomi Najib. Tetapi mereka juga tidak percayakan Dr Mahathir.”

Ahli politik veteran berusia 92 tahun itu adalah kini menjadi pengerusi PH dan mungkin dinamakan sebagai calon perdana menteri.

“Ketika ini, kita tidak tahu faktor mana yang akan menguasai mereka apabila mengundi,” kata Hisommudin.

Walaupun ekonomi dijangka perlahan dalam tempoh enam bulan akan datang, kerana pelabur menunggu pilihan raya, Chin berkata susut nilai ringgit juga boleh menjejaskan Najib.

Ringgit menjunam daripada RM3 kepada AS$1 pada 2013 kepada kira-kira RM4. Ia menyebabkan import makanan lebih mahal dan harga lebih tinggi di pasaran tempatan.

Sekiranya inflasi naik sekali lagi, ia boleh menjadi faktor yang menyebabkan pengundi luar bandar menolak BN.

“Bahaya di sini adalah satu lagi pusingan penyusutan ringgit yang mendadak. Tidak banyak yang boleh dilakukan Bank Negara Malaysia memandangkan rizabnya yang turun,” kata Chin.

“Perkara yang Najib boleh terus mengawal – Suruhanjaya Pilihan Raya, Umno dan PAS – beliau sangat kuat tetapi perkara luar, seperti ringgit dan siasatan luar negara terhadap 1MBD, beliau secara politiknya masih dalam bahaya.”

– https://www.themalaysianinsight.com

.