2018 ADALAH TAHUN PERUBAHAN, MARI KITA KUKUHKAN LAGI ILTIZAM MENYINGKIRKAN NAJIB

Hari ini adalah hari pertama tahun 2018 dan untuk itu diucapkan selamat tahun baru kepada seluruh rakyat Malaysia serta penjenguk blog ini, tidak kira sama ada yang pro kerajaan atau pro kepada perubahan.
Juga diucapkan terima kasih kepada semua yang terus setia membaca dan menjenguk blog ini, termasuk yang rajin memberi komen dan pandangan, baik yang bersifat pro atau kontra. Kepada yang suka berkata kotor, lucah dan mencarut, sedarlah bahawa dunia ini tidak kekal selama-lamanya.
Sebagaimana tahun-tahun sebelumnya, pada tahun 2018 ini, blog ini ingin terus komited dalam mengajak rakyat kepada perubahan dan pembaharuan dalam politik Malaysia melalui PRU 14 yang wajib diadakan sebelum Ogos depan.
Oleh kerana tahun ini adalah tahun pilihanraya di mana rakyat harus membuat pilihan, maka seboleh mungkin blog ini akan melipatgandakan lagi usaha penulisannya agar rakyat benar-benar faham tentang pentingnya perubahan serta tidak teragak-agak untuk melakukannya di kertas-kertas undi.
Pada asasnya, oleh kerana hanya Najib Razak yang terpalit dengan skandal kewangan terbesar di dunia, banyak membazir, suka bermewah, membebankan rakyat dan merosakkan seluruh sistem dalam negara, menyingkirkan beliau saja adalah pilihan yang paling munasabah dan itulah yang diperjuangkan sebelum ini.
Hakikat ini bukan saja terserlah melalui tulisan atau artikel di peringkat awal blog ini, tetapi juga melalui tujuh buku yang telah diterbitkan sejak 2011 lagi.
Tetapi, oleh kerana Najib enggan berundur dan berselindung di sebalik UMNO dan BN serta menggunakan kekuatan “cash is king” yang ada padanya untuk terus bertahan, maka mengajak rakyat untuk sama-sama menumbangkan UMNO dan BN sudah tidak dapat dielakkan lagi.
Dalam keadaan sekarang, mengekalkan UMNO dan BN samalah seperti mengekalkan lagi Najib untuk terus berkuasa serta  bermaharajalela dan Najib hanya dapat disingkirkan dengan cara mengalahkan UMNO dan BN terlebih dahulu.
Rakyat juga harus sedar bahawa oleh kerana Najib enggan berundur dan masih mahu bertahan adalah kerana untuk melindungi dan menyelamatkan diri, keluarga dan yang terpenting sekali ialah Jho Low, kebarangkalian yang paling menakutkan ialah kepentingan rakyat akan merupakan prioriti terakhir dalam hidupnya selepas dapat menyambung lagi hayat politiknya.
Najib tidak pernah peduli tentang kesusahan rakyat, berapa harga bawang dan cili, apa pentingnya subsidi, bebanan GST dan lain-lain lagi kerana yang sentiasa diutamakannya hanyalah kepentingan dirinya.
Sebab itu, di sebalik rakyat terbeban dan mengeluh dengan pelbagai tekanan kehidupan, citarasa hidupnya terus jalan seperti biasa. Cutinya, bermewahnya, perbelanjaan PMOnya, membazirnya, keghairahannya membeli sokongan serta memberi jawatan dan sebagainya tidak pernah dikurangkannya, meskipun pelbagai kementerian dan ubat-ubatan di hospital mengalami catuan di sana sini.
Mengekalkan lagi Najib hanyalah mengundang malapetaka dalam kehidupan kita atau ibarat kita mengambil seseorang yang diketahui suka mencuri sebagai pengawal keselamatan untuk menjaga rumah dan harta-harta kita.
Satu-satunya pilihan yang ada bagi rakyat Malaysia pada 2018 ini ialah  mereka mesti mengukuhkan lagi iltizam untuk menolak, menyingkirkan Najib, UMNO dan BN serta akhirnya menjadikan perubahan suatu realiti.
Hanya setelah berlakunya penyingkirkan itu, barulah proses membaikpulih dan memulihkan seluruh sistem dalam negara dapat dilakukan dengan sebaik-baiknya.
Memang sekarang ini diakui golongan yang suka dan menyokong Najib kian mengecil dan agenda perubahan sedang menuju kemenangan. Dalam UMNO sendiri pun, kecuali pemegang jawatan dan mereka yang mendapat dedak yang terus menyatakan sokongan, yang lain-lainnya boleh dikata setuju perlunya perubahan dalam pilihanraya akan datang.
Semua segmen masyarakat pula rata-rata benci, meluat dan tidak mahu lagi melihat wajah Najib. Yang menutup televisyen atau mengalih siaran ketika wajah Najib terpampang bukan saja berlaku di kebanyakan rumah kediaman, bahkan terang-terang suatu kebiasan di kedai-kedai makan atau tempat awam yang lain.
Di zaman Tun Mahathir atau Pak Lah misalnya, memang diakui ramai juga yang tidak menyokong dan marah kepada kedua-duanya, namun tidaklah sampai ke peringkat tidak mahu memandang wajah mereka  yang muncul di tv.
Realitinya, Najib memang sedang ditolak dan tidak lagi disukai.
Tetapi, oleh kerana Najib masih memegang kuasa, banyak sokongan boleh dibeli, diugut atau dimanipulasinya untuk memastikannya terus menang dalam pilihanraya nanti.
Selain parti-parti politik yang bergerak ke arah perubahan terus dengan peranan masing-masing, begitu juga pihak-pihak lain seperti NGO, pertubuhan, penggerak media sosial, grup Whatsapp dan sebagainya, blog ini juga akan terus komited membantu dan menyedarkan rakyat sekadar yang termampu ke arah perubahan itu.
Apa yang dilakukan ini bukan untuk diri sendiri, sebaliknya demi kepentingan rakyat, negara dan generasi akan datang agar mereka lebih selesa menjalani kehidupan, tiada beban kos sara hidup yang terlalu tinggi, ada kerjaya, mudah berniaga dan rukun damai sebagai rakyat yang bebas merdeka.
Semua itu hanya dapat dijayakan dengan berlakunya perubahan terlebih dahulu dalam pilihanraya akan datang  yang dijangka akan diadakan dalam waktu terdekat ini.
Jika kita sayang negara ini, marilah bersama-sama melakukan perubahan. Tetapi jika Najib, keluarganya dan Jho Low yang ingin kita lihat bertambah kaya dan memiliki lebih banyak hartanah di seluruh dunia, sedangkan kita sendiri kekal merana, maka teruslah menyokong dan BN sehingga ke penghujung usia.

Pilihan di tangan kita dan peluang terbaik serta mungkin kesempatan terakhir untuk melakukannya hanyalah pada PRU 14 akan datang yang detiknya hanya beberapa bulan saja lagi.

– http://shahbudindotcom.blogspot.my/

.