2 BILION UNIT SAHAM AMANAH DITAWAR KEPADA KAUM INDIA, KATA SUBRAMANIAM

PELAN Tindakan Masyarakat India (MIB) dijangka menyediakan dua bilion unit saham amanah kepada masyarakat India di negara ini dalam tempoh lima tahun, kata Presiden MIC Dr S. Subramaniam.

Beliau berkata tawaran itu yang bertujuan meningkatkan taraf ekonomi kaum India akan dibuka menerusi Permodalan Nasional Berhad (PNB) kepada dua kategori iaitu golongan isi rumah berpendapatan rendah B40 dan kategori terbuka untuk semua kaum India.

“Ini merupakan inisiatif julung kali untuk masyarakat India bagi membantu mereka menabung, membuat caruman dan menggalakkan budaya penjimatan jangka masa panjang,” kata Dr Subramaniam yang juga menteri kesihatan kepada pemberita di Putrajaya hari ini.

Beliau yang sebelum itu mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Badan Perhubungan Komuniti MIB, berkata bagaimanapun perkara itu masih dalam perbincangan antara PNB dan Pelan Pembangunan Sosio Ekonomi Masyarakat India (Sedic).

“Kita masih belum muktamadkan mekanisme itu,” katanya.

Beliau berkata antara cadangan untuk B40 ialah subsidi kepada 20% kelompok terendah dalam kumpulan itu serta pinjaman bebas faedah bagi tujuan pembelian saham terbabit.

“Kita sedang menunggu persetujuan daripada Perdana Menteri Najib Razak,” katanya yang berharap skim khas tersebut dapat diumumkan pada Bajet 2018 yang akan dibentang bulan depan.

– Bernama

.