1MDB TAK BERHUTANG BUDI UNTUK LANGSAI HUTANG, KATA MENTERI

MALAYSIA tidak terhutang budi dengan mana-mana pihak untuk melangsaikan hutang dana pelaburan negara 1Malaysia Development Berhad (1MDB), kata Timbalan Menteri Kewangan II Johari Abdul Ghani.

Johari berkata demikian apabila ditanya mengenai laporan akhbar The Straits Times dua hari lalu mendakwa syarikat sarat hutang negara itu menjual dua hartanahnya kepada China bagi melangsaikan sepenuhnya hutangnya dengan International Petroleum Investment Co (IPIC).

“Kami tidak terhutang budi kepada sesiapa,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pelancaran ePerolehan Baharu di Kompleks Kementerian Kewangan di Putrajaya hari ini.

Beliau juga enggan mengulas lanjut, menambah yang Mohd Irwan Serigar Abdullah, pengerusi 1MDB dan juga ketua setiausaha perbendaharaan adalah orang paling layak ditanya.

“Maklumat terperinci..saya tak tahu (not aware) semua ini. Boleh tanya Tan Sri Irwan? Kerana dia pengerusi 1MDB,” katanya.

Persatuan Patriot Kebangsaan sebelum ini meminta kerajaan menjelaskan dakwaan yang dua bidang tanah di Pulau Pinang dan Pulau Indah, Selangor dijual untuk bayar hutang 1MDB.

“Kerajaan kita tidak boleh terus membingungkan rakyat, kerana rakyat perlu dimaklumkan dalam isu penting berhubung negara kita,” kata Presiden, Mohamed Arshad Raji dalam satu kenyataan.

Minggu lalu, 1MDB dilaporkan menyelesaikan baki hutangnya sebanyak AS$1.2 bilion (RM4.89 bilion) kepada dana Abu Dhabi, sekali gus menghapuskan pertikaian yang boleh memalukan pentadbiran Perdana Menteri Najib Razak menjelang pilihan raya umum akan datang.

Pembayaran terakhir sebanyak AS$630 juta itu dibayar kepada International Petroleum Investment Company (IPIC) hari ini, jumlah yang tidaklah berapa besar kalau hendak dibandingkan dengan harga premium yang dibayar syarikat China untuk memiliki hartanah 1MDB di Pulau Indah, Selangor dan Air Itam, Pulau Pinang.

Campur tangan syarikat-syarikat China dan keupayaan mereka untuk membayar pada harga pasaran adalah petunjuk besarnya pengaruh mereka di rantau ini dan kesediaan Beijing untuk membantu kerajaan Malaysia dalam masalah yang menjadi beban sejak beberapa tahun lalu.

– https://www.themalaysianinsight.com

.