1MDB: SHAFIE APDAL BERI KETERANGAN DI BUKIT AMAN

KUALA LUMPUR – Presiden Parti Warisan Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal hadir ke Bukit Aman pagi Isnin untuk memberi keterangan berhubung kenyataannya berkaitan 1MDB di Parlimen baru-baru ini.

Beliau tiba di pekarangan Bukit Aman pada pukul 9.53 pagi.

Turut hadir memberi sokongan kepada Shafie adalah bekas ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia yang juga bekas Naib Ketua Umno Bahagian Batu Kawan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan dan beberapa pemimpin pembangkang, Teresa Kok (Ahli Parlimen Seputeh), Lim Lip Eng (Ahli Parlimen Segambut) dan Teo Kok Seong (Ahli Parlimen Rasah).

Shafie berkata, beliau akan mengeluarkan kenyataan sebaik sahaja keterangannya selesai diambil sebentar lagi.

Pada Ahad, mStar Online melaporkan sumber terdekat dengan Ahli Parlimen Semporna itu berkata, pihak polis telah menghubungi bekas naib presiden Umno itu pada Rabu lalu.

Sumber itu berkata, Shafie akan hadir bersama peguamnya untuk memastikan sesi merakamkan keterangan itu berjalan lancar.

MSTAR

.