1MDB: SEMOGA PIHAK BERKUASA BERANI BONGKAR – PAS

SHAH ALAM – Pas mendoakan agar pihak berkuasa tempatan diberikan keberanian untuk membongkar isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, beliau percaya pasukan penyiasatan Malaysia jauh lebih berkemampuan daripada Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ) dalam menyiasat isu berkenaan.

“Kita perlu lebih cekap dan berupaya bertindak sendiri untuk mengelakkan  sebarang campur tangan Amerika Syarikat (AS). Tapi apabila kita sendiri melengahkan siasatan, maka ruang campur tangan itu terbuka luas,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Beliau berkata, sekali lagi maruah pimpinan negara terutamanya BN dan pihak berkuasa Malaysia yang menyiasat isu 1MDB ‘ditampar’ oleh DOJ di hadapan seluruh dunia.

“Sampai bilakah nama Malaysia perlu dimalukan sebegitu rupa kerana 1MDB? 1MDB telah menjejaskan nama baik negara,” katanya.
Beliau berkata, walaupun kes DOJ masih di peringkat tuduhan, nasibnya kini bergantung pada kesetiaan Jho Low.

“Jika DOJ menawarkan satu jalan keluar untuk Jho Low dengan syarat beliau membongkar siapa di belakangnya, kemungkinan besar Jho Low akan mengambilnya dan ketika itu, segalanya akan terungkai,” dakwanya.

– SH

.