1MDB SALUR RM690 JUTA UNTUK PROJEK CSR

BAGI syarikat yang memiliki hutang sehingga terpaksa menjual asetnya, 1Malaysia Development Berhad (1MDB) menyalurkan dana sebanyak RM700 juta untuk program amal dan komuniti di sebalik dakwaan penyaluran dana kepada barangan mewah dan harta di seluruh dunia.

Antara 2010 hingga awal tahun ini, sebanyak RM690 juta disalurkan bagi projek domestik meliputi 60 projek khidmat masyarakat, pembangunan belia, kesihatan dan pendidikan, menurut kenyataan 1MDB pada Januari.

Penerima dana itu termasuklah geran Dana PIBG, geran akademik pelajar SPM/STPM, geran akademik Pusat Sri Murugan dan pemegang Sijil Peperiksaan Bersama (UEC), Dana Belia 1Malaysia dan Klinik Bergerak 1Malaysia.

1MDB pada Januari berkata, tajaan Yayasan 1MDB untuk “Program Khas Haji” dibiaya menggunakan wang daripada operasi perniagaan sah termasuk dalam pengeluaran dan pembangunan hartanah.
Syarikat itu turut menafikan pembiayaan dibuat menggunakan wang yang dicuri dan menyifatkan dakwaan bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad “tidak berasas”.

Menurut 1MDB Yayasan turut menyokong program lain seperti Program SPM Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) yang menaja biasiswa kepada lebih 600 pelajar.

Dalam laman webnya, antara projek CSR lain yang ditaja 1MDB termasuklah Projek Majudiri untuk membantu usahawan kecil dan pembinaan 12 rumah di pendalaman Sarawak.

Bulan lalu Jabatan Keadilan Amerika Syarikat (DoJ) memfaikan saman ketiga untuk membekukan aset bernilai AS$1.7 bilion (RM7.3 bilion) dipercayai dibeli menggunakan wang yang dicuri daripada 1MDB.

Tuntutan saman itu menjadikan jumlah keseluruhan yang didakwa disalahgunakan sebanyak AS$4.5 bilion.

Antara aset tersenarai dalam tuntutan itu adalah kapal layar “The Equanimity” milik Jho Low bernilai AS$261 juta yang mampu memuatkan 25 tetamu dan 33 anak kapal lengkap dengan pad helikopter.

Barangan lain yang mahu dirampas DoJ sebagai sebahagian daripada Inisiatif Pemulihan Aset Kleptokrasi termasuklah hak tayangan filem The Wolf of Wall Street berjumlah AS$155 juta, set rantai berlian 22 karat bernilai AS27.3 juta yang diberikan Low Tek Jho atau Jho Low kepada isteri “Malaysia Official 1” dan hartanah bernilai lebih AS$1 bilion menggunakan dana yang digubah daripada 1MDB termasuk Hotel Park Lane di New York bernilai AS$202 juta.

Dalam temu bual dengan BBC September lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Rahman Dahlan berkata “Malaysian Official 1” merujuk kepada Perdana Menteri Najib Razak.

Najib terus menafikan tuduhan salah laku ke atasnya. Pemimpin Umno menuduh pihak berkuasa AS dan pembangkang bekerjasama untuk menjatuhkan kerajaan.

– https://www.themalaysianinsight.com

.