1MDB: PENGAUDITAN PENYATA KEWANGAN BELUM DILENGKAPKAN

KUALA LUMPUR – Kementerian Kewangan menjelaskan bahawa tempoh jangka masa bagi melengkapkan proses pengauditan ke atas penyata kewangan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) bagi tahun 2015 dan 2016 masih belum dapat dipastikan berikutan siasatan polis sedang berjalan sehingga kini.

Menerusi jawapan bertulis bagi menjawab pertanyaan Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin (Bersatu-Pagoh), Kementerian Kewangan memaklumkan bahawa pada 8 Julai 2015 lalu, Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah merampas pelbagai dokumen asal dari pejabat 1MDB namun sehingga kini ia masih belum dipulangkan kepada pihak syarikat.

“Ini menyukarkan proses pengauditan laporan kewangan syarikat kerana juruaudit perlu merujuk kepada dokumen asal untuk mengesahkan laporan kewangan.

“Namun begitu, juruaudit 1MDB telah memulakan proses pengauditan ke atas penyata kewangan 2015 dan 2016 berdasarkan maklumat sedia ada,” katanya.

Dalam pada itu, kementerian turut memaklumkan bahawa  laporan kewangan 1MDB tidak pernah dan tidak perlu dibentangkan di Dewan Rakyat.

“Laporan kewangan 1MDB adalah dokumen yang diaudit dan difailkan bersama Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

“Mana-mana pihak yang memerlukan laporan kewangan 1MDB hendaklah merujuk dokumen daripada sumber tersebut,” katanya.

Tambahnya, penyata kewangan 1MDB yang diaudit bagi tahun 2009 hingga 2014 boleh dimuat turun oleh mana-mana pihak melalui  laman web SSM.

Pada Ogos, Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ) memohon hakim menangguhkan permohonan sivil merampas pelbagai aset bernilai lebih AS$1 bilion di negara itu, United Kingdom dan Switzerland sementara ia menjalankan siasatan jenayah terhadap dana yang dilarikan daripada 1MDB.

– Sinar Harian

.