1MDB MINTA MAHATHIR BERHENTI BERBOHONG

1Malaysia Development Berhad (1MDB) hari ini tampil bersuara dengan meminta Tun Dr. Mahathir Mohamad agar menghentikan pembohongan mengenai tajaan syarikat itu dalam program khas haji kelolaannya.

“Mahathir membuat dakwaan yang salah dengan mengatakan tajaan Yayasan 1MDB ke atas jemaah haji dibiayai menerusi wang yang ‘dicuri’.

“1MDB menafikan sekeras-kerasnya dakwaan tidak berasas ini.

“Sebaliknya, 1MDB mempunyai operasi perniagaan yang sah dengan sebelum ini terbabit dalam aktiviti pengeluaran tenaga dan baru-baru ini, pembangunan hartanah,” kata 1MDB dalam kenyataannya.

Jelasnya lagi, dana yang terjana hasil operasi perniagaan disumbangkan ke dalam Yayasan 1MDB yang kemudiannya digunakan untuk menaja program khas tersebut.

Semalam, bekas perdana menteri itu sekali lagi menghangatkan keadaan apabila menyindir daging yang haram umpamanya seperti babi, masih tetap haram untuk dimakan oleh umat Islam walaupun selepas membaca kalimah Bismillah.

“Kita semua maklum bahawa jika kita termakan makanan yang haram bagi orang Islam (daging babi umpamanya) maka kita tidak bersalah.

“Makanan yang haram tidak akan menjadi halal kerana dihidang selepas baca doa selamat, atau bertahlil,” katanya dalam tulisan terbaru di blog.

Walaupun tidak menyatakan sebarang nama, Mahathir dipercayai merujuk kepada kenyataannya sebelum ini bahawa jemaah haji tajaan 1MDB tidak akan mendapat haji mabrur kerana menggunakan dana yang dicuri oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Mengulas lanjut, 1MDB berkata, sejak penubuhannya pada tahun 2010, Yayasan 1MDB menyediakan tajaan bernilai sekitar RM690 juta untuk tujuan kebajikan di seluruh Malaysia dan untuk semua rakyat Malaysia.

Ia termasuk 60 projek dalam bidang pendidikan, penjagaan kesihatan, pembangunan belia dan perkhidmatan masyarakat, tambahnya.

“Projek-projek tersebut telah memberi kesan kepada kehidupan 2.8 juta rakyat Malaysia.

“Selain Program Khas Haji, Yayasan 1MDB juga menyokong program lain seperti Program SPM Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) yang menaja lebih 600 sarjana Malaysia daripada semua kaum,” katanya lagi.

– M’kini

.