1MDB MASIH ISU TARIKAN PILIHAN RAYA

SKANDAL 1Malaysian Development Berhad (1MDB) masih menjadi isu utama pengundi yang melihat masalah kerugian dan hutang berbilion ringgit itu memberi kesan kepada negara.

Pakatan Harapan (PH) turut mengambil peluang memberikan pencerahan mengenai syarikat sarat hutang itu kepada masyarakat luar Lembah Klang menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Rata-rata hadirin ceramah di Ipoh memberitahu The Malaysian Insight mereka mendapat gambaran lebih jelas mengenai 1MDB selepas ceramah perdana “Selamatkan Malaysia, Hapuskan Kleptokrasi” di Medan Klebang Restu, Ipoh semalam.

Acara kemuncak jelajah dijangka diadakan pada 14 Oktober ini di Petaling Jaya yang bakal menghimpunkan pemimpin utama PH antaranya Dr Mahathir Mohamad dan Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Habibah Khalid, 53, seorang suri rumah mengakui memahami isu 1MDB selepas mendengar ceramah mantan perdana menteri itu lewat malam semalam.

“Dia (Dr Mahathir) punya penjelasan pasal 1MDB boleh kami terima. Pasal Najib dalam isu itu kami tak berapa nak faham sebelum ini. Dr Mahathir turun kita dapat bayanganlah,” katanya yang datang dari Tambun.

Dr Mahathir sebelum itu dalam ucapannya mendakwa Najib menubuhkan 1MDB untuk mendapatkan sumber kewangan bagi membeli kesetiaan orang bawahan parti.

“Najib (Razak) tubuhkan 1MDB konon untuk bangunkan negara kita. Bukan kerajaan yang pinjam duit kerana untuk pinjam ada limit yang kena ditentukan di parlimen.

“Jadi Najib tak pinjam duit. Dia tubuh syarikat sebab syarikat boleh pinjam banyak,” kata Dr Mahathir yang mendakwa duit tersebut telah dicuri.

Pembayaran hutang RM42 bilion itu juga kini terpaksa ditanggung rakyat, katanya lagi.

Beh Hooi Luan, 53, pula datang ke ceramah berkenaan semata-mata mahu mendengar ucapan mantan perdana menteri dan mahu Malaysia diselamatkan daripada masalah hutang.

Rakyat memenuhi Medan Selera Klebang Restu Ipoh bagi mendengar sendiri penjelasan skandal syarikat sarat hutang dan rata-rata mengatakan lebih memahami kesannya kepada kehidupan mereka selepas penjelasan itu. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 21 Ogos, 2017.
“Saya datang sini (ceramah), kawan beritahu Dr Mahathir datang.

“Kita mahu tukar kerajaan sebab BN (Barisan Nasional) sudah lama. Isu 1MDB lagi, Dr Mahathir ada sebut tadi dalam ceramah. Negara juga sudah banyak hutang,” kata jurujual di sebuah pasar raya di Ipoh itu.

Bagi Nasaruddin M Soid, 46, kehadirannya adalah untuk mendengar sendiri penjelasan mengenai 1MDB dan membandingkannya dengan maklumat diperolehi daripada media massa.

“Saya datang untuk bandingkan apa yang dikatakan di dalam media tradisional seperti TV3, Sinar Harian dan Berita Harian terhadap Dr Mahathir.

“Dia (Dr Mahathir) perdana menteri kita dahulu begitu disanjung di luar tetapi sekarang negara dimalukan dengan skandal 1MDB, nilai mata wang kita jatuh dan negara memang dalam keadaan yang tenat.

Manakala, bagi anak muda seperti Jiwa Yogeswari, 27, yang berpendapat isu 1MDB perlu dipanjangkan ke kawasan pedalaman kerana kekurangan akses menerima maklumat sebenar.

“Saya rasa isu 1MDB kena beritahu di pedalaman. Orang kampung tak tahu. Orang pekan banyak tahu isu semasa.

“Bila Dr Mahathir cerita  kisah 1MDB jadi sekurang-kurangnya ada pengetahuan dan dengar sendiri,” katanya.

– https://www.themalaysianinsight.com

.