1MDB: MALAYSIA TIDAK PERLU CAMPUR TANGAN ASING

KUALA LUMPUR –  Malaysia tidak perlu campur tangan asing dalam menyelesaikan masalah berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) ​​​​​​ sepertimana tindakan Jabatan Keadilan (DOJ) Amerika Syarikat memfailkan saman sivil terhadap syarikat itu baru-baru ini, kata Ahli Parlimen Kuala Selangor Datuk Seri Irmohizam Ibrahim.

Beliau berkata tindakan itu sangat tidak rasional dan profesional, seolah-olah satu konspirasi sedang dirancang untuk menjatuhkan pentadbiran kerajaan Malaysia di bawah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Terdahulu, siasatan yang dijalankan tidak menunjukkan apa-apa penyelewengan dikaitkan dengan Perdana Menteri. Hasil siasatan ini turut ditegaskan oleh Peguam Negara bahawa tidak terdapat bukti-bukti berasas untuk dihadapkan ke mahkamah.

“Justeru, tindakan saman DOJ ini sangat meragukan lebih-lebih lagi ia langsung tidak merujuk mana-mana pihak berkuasa seperti Suruhanya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM),” katanya dalam satu kenyataan.

Irmohizam merujuk kepada saman sivil terbaru DOJ​ bagi mendapatkan semula aset-aset yang didakwa diselewengkan daripada 1MDB.

Ahli Majlis Tertinggi Umno itu berkata tindakan DOJ seolah-olah didorong motif politik pihak-pihak tertentu yang cemburu dengan apa yang dilakukan kerajaan dalam melakukan transformasi negara.

“Ini sudah menjadikan DOJ​ bukan sahaja bertindak melulu bahkan juga menuduh tanpa usul periksa. Tidak ada sebab untuk kita mempercayai kenyataan yang dikeluarkan oleh DOJ​,” katanya.

–  Bernama

.