1MDB: HUKUMAN DI SINGAPURA PETANDA PUTRAJAYA PERLU BERTINDAK

SINGAPURA hari ini menjatuhkan hukuman penjara 54 bulan ke atas perancang kewangan Yeo Jiawei kerana kesalahan menggubah wang haram dan menipu bersabit dakwaan penyelewengan berbilion dolar daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang juga sedang disiasat di serata dunia.

Dia seorang daripada beberapa orang yang sudah disabitkan tuduhan berkait dengan 1MDB di Singapura. Republik itu adalah satu-satunya negara yang sudah mensabitkan tertuduh, daripada 10 buah negara yang sedang menyiasat skandal itu — skandal yang menjadikan Malaysia dan “Malaysian Official No. 1” sebagai tajuk berita utama.

Keputusan terbaru ini juga meningkatkan tekanan kepada kerajaan Malaysia untuk bertindak serta meluruskan dakwaan kononnya tidak ada apa-apa yang salah dengan 1MDB manakala saman Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat pula kononnya tidak berasas.

Kalau dakwaan itu betul, kenapa begitu banyak negara sedang menyiasatnya dan kenapa DoJ memfailkan dua saman untuk mendapatkan wang yang telah digunakan bagi tujuan yang lain selain daripada yang diperuntukkan bagi 1MDB?
Kalau semua itu betul, kenapa Malaysia bersetuju membayar kepada International Petroleum Investment Corporation (IPIC) milik Abu Dhabi di mahkamah timbang tara di London?

Bolehkah Putrajaya dengan jujur mengatakan tiada apa-apa masalah dengan 1MDB, sehingga ia boleh menghulurkan RM690 juta atas nama tanggungjawab sosial korporat?

Dan tidak ada mana-mana pegawainya yang menyeleweng sehingga ia terpaksa menjual tanah serta aset utiliti tenaga dan air, serta menukar pengurusan dan auditor beberapa kali dalam tempoh lapan tahun sejak penubuhannya?

Adalah memalukan apabila ia terpaksa mengeluarkan derma dan menaja bakal haji untuk meneruskan wayang kononnya semuanya baik-baik saja di 1MDB. Adalah satu penipuan untuk mendakwa kononnya semua berita buruk tentang 1MDB adalah putar belit pembangkang.

Penipuan terbesar ialah untuk terus percaya bahawa 1MDB tiada masalah dan semua wang itu masih miliknya.

Kerana kalau itulah cerita sebenarnya, maka Yeo sudah jadi mangsa keadilan yang diseleweng. Hukuman penjara 54 bulan itu adalah yang paling lama dijatuhkan oleh sebuah mahkamah di Singapura bersabit dengan 1MDB.

Kalau hendak percaya cerita Malaysia, orang lain yang juga didapati bersalah dan dihukum penjara oleh Singapura seperti pegawai bank Yak Yew Chee dan Yvonne Seah Yew Foong tentulah juga mangsa keadilan yang sumbang.

Dan apakah Singapura tersilap mengenakan denda paling tinggi sebanyak S$128,000 (RM398,000) kepada bekas pengurus Bank Falcon Jens Sturzenegger yang dihukum penjara 28 minggu bersabit peranannya dalam saga 1MDB ini?

Putrajaya harus bertindak terhadap mereka yang terlibat dalam skandal 1MDB di sini. Sebagai permulaannya, satu siasatan yang terperinci dan kemudian, mendedahkan laporan Ketua Audit Negara kepada umum. Selebihnya, mengheret mereka yang bertanggungjawab ke muka pengadilan.

Kalau ada skandal yang patut disiasat oleh Suruhanjaya Siasatan Diraja sekarang, skandal itu ialah 1MDB. Seluruh dunia sedang ambil tindakan tetapi Putrajaya macam hanyut dalam dongeng 1001 malam kononnya semuanya indah belaka.

– https://www.themalaysianinsight.com

.