1MDB GUNA DUIT SIAPA BAYAR HUTANG 31 DISEMBER, TANYA PENGKRITIK

BERKEMUNGKINAN besar duit pembayar cukai akan digunakan untuk membantu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) menjelaskan hutangnya yang mencecah AS$602.73 juta (RM2.481 bilion) kepada syarikat Abu Dhabi pada 31 Disember, kata seorang wakil rakyat pembangkang ketika persoalan bagaimana dana pelaburan negara akan melangsaikan hutangnya masih tidak berjawab.

The Malaysian Insight cuba mendapatkan penjelasan daripada Pengerusi 1MDB Irwan Serigar Abdullah, Presiden Arul Kanda Kandasamy dan Menteri Kewangan Kedua Johari Ghani tetapi semuanya enggan memberikan sebarang kenyataan.

Tetapi, Irwan ketika bercakap kepada wartawan selepas sebuah majlis anjuran Kementerian Kewangan pada malam Khamis lalu berkata “tunggu dan lihat”. Irwan juga adalah ketua setiausaha perbendaharaan.

Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua berkata Kementerian Kewangan yang memiliki 1MDB masih tidak menjelaskan sumber kewangan yang digunakan untuk membuat bayaran pertama hutang 1MDB berjumlah AS$1.205 bilion (RM4.96 bilion) kepada International Petroleum Investment Company (IPIC).

Bayaran pertama berjumlah AS$603 juta sepatutnya perlu dijelaskan pada akhir Julai lalu tetapi ditangguhkan sehingga Ogos.

1MDB dijadualkan melakukan satu lagi pembayaran berjumlah AS$602.73 juta pada 31 Disember ini.

MoF jadi penyelamat?

Pada April lalu, 1MDB mengatakan ia akan menggunakan “unit pelaburan” dimiliki anak syarikat 1MDB, Brazen Sky Limited untuk membayar hutang IPIC.

Tetapi Julai lalu, Jabatan Kehakiman Negara Amerika Syarikat (DoJ) mendedahkan yang unit pelaburan dipegang Brazen Sky adalah palsu.

“Sejak DoJ mendedahkan perkara ini, 1MDB hanya berdiam diri tentang ‘unit’ ini. Pertanyaan saya di Parlimen tentangnya juga ditolak,” kata Pua.

Pua mendakwa keengganan kementerian untuk mendedahkan sumber dana 1MDB membuktikan yang kerajaan secara langsung atau tidak langsung membantu syarikat itu melangsaikan hutangnya.

“Maka kerana itu, jika MoF akan berbuat perkara sama, dengan menggunakan duit pembayar cukai untuk membantu 1MDB melakukan bayaran (hutang), maka sudah tentu 1MDB juga tidak akan mempunyai masalah menjelaskan hutangnya pada Disember ini.

“Saya sangat yakin yang MoF dalam kaedah tertentu memberikan dana kepada 1MDB untuk melakukan bayaran (jelaskan hutang).

“Kerana itulah Kementerian Kewangan dan 1MDB berulang kali enggan menjawab soalan saya tentang perkara ini. Jika tidak, mengapa sukar sekali nak jawab jika sumber dana untuk 1MDB adalah sah?”

Persoalan yang timbul

Seorang ahli ekonomi, Azrul Azwar Ahmad Tajuddin berkata isu asal usul sumber itu memang mencetuskan spekulasi dalam kalangan pelabur, memandangkan yang 1MDB dimiliki sepenuhnya oleh Perbadanan Kementerian Kewangan (MoF Inc) dan kerajaan yang menjamin pinjaman dilakukan 1MDB.

“Ia mungkin menyebabkan pelabur tertanya-tanya sama ada akan sampai masanya tak lama lagi, kerajaan persekutuan terpaksa masuk campur untuk menangani risiko 1MDB tak mampu bayar hutang.”

Katanya lagi, selain persoalan asal usul sumber dana 1MDB, ahli ekonomi juga menyifatkan ketidakyakinan terus wujud berkaitan kemampuan 1MDB  membuat bayaran seterusnya kepada IPIC tepat pada masanya memandangkan ia gagal menepati tempoh bayaran hutangnya pada Julai lepas.

“Satu lagi penangguhan akan menimbulkan syak kepada kemampuan 1MDB untuk memenuhi tanggungjawab kewangannya selain daripada kemungkinan 1MDB juga akan dikenakan penalti,” kata Azrul Azwar.

Duit yang hilang

Hutang 1MDB kepada IPIC mencecah AS$1.205 bilion, diuruskan melalui proses timbang tara di Mahkamah Timbang Tara Antarabangsa di London pada April lalu.

Penyelesaian itu adalah sebahagian daripada rentetan peristiwa dalam skandal 1MDB, yang menjadi tumpuan siasatan penggubahan wang haram dan penipuan di enam buah negara.

DoJ mendakwa sejumlah AS$4.5 bilion dirompak atau diselewengkan dari dana pelaburan negara itu yang merupakan cetusan idea Perdana Menteri Najib Razak yang mengetuai barisan lembaga pengarahnya.

Pada Julai 2016, DoJ mendedahkan sejumlah AS$731 juta wang milik 1MDB dimasukkan ke dalam akaun peribadi “Malaysian Official No 1” yang kemudian disahkan oleh seorang menteri kabinet sebagai Najib.

Najib menafikan wujudnya sebarang salah laku, mendakwa wang itu adalah derma dari keluarga diraja Arab Saudi.

Perjanjian antara IPIC dan 1MDB bermula pada 2012 apabila IPIC menjamin dua bon bernilai AS$1.75 bilion (RM7.52 bilion) setiap satu supaya 1MDB boleh menjana dana diperlukan untuk pembelian aset jana tenaga. Sebagai balasan, 1MDB sepatutnya melakukan bayaran balik aset kepada IPIC.

Bagaimanapun, pada hujung 2015, masalah mula timbul apabila IPIC mendakwa ia tidak menerima AS$3.5 bilion yang sepatutnya dibayar 1MDB.

Tetapi, 1MDB mendakwa sudah membuat bayaran kepada anak syarikat IPIC, Aabar Investment PJS Limited atau Aabar (BVI) yang didaftarkan di Kepulauan British Virgin.

Siasatan DoJ ke atas 1MDB mengesahkan yang Aabar BVI adalah syarikat palsu yang ditubuhkan untuk menyerupai Aabar sebenar,  Aabar Investment PJS.

Memandangkan mereka tidak mampu menyelesaikan masalah kehilangan wang itu, pada Mei 2016, kerajaan Abu Dhabi dan Malaysia bersetuju membawa pertikaian itu kepada pengurusan timbang tara di London.

Sebelum ini, Pua mendakwa yang bayaran dilakukan 1MDB pada April kepada IPIC adalah pengakuan yang syarikat sarat hutang itu kehilangan AS$3.51 bilion, wang yang sepatutnya menjadi bayaran pertama kepada IPIC.

– https://www.themalaysianinsight.com

.