1MDB GAGAL, PENGAKUAN JUJUR ATAU SANDIWARA PILIHANRAYA? ADAKAH INI TANDA2 ADA “KAMBING HITAM” AKAN DIMANGSAKAN?

Setelah berhempas-pulas membuat cerita bahawa 1MDB sebuah syarikat yang berjaya, didakwa menjana keuntungan dan memberi kebaikan kepada negara, selain turut menangkap, memenjara dan memecat mereka yang membangkitkannya, Najib Razak akhirnya mengakui syarikat pelaburan yang ditubuhkannya itu adalah suatu kegagalan.
Sekarang saya tidak akan menafikan isu ini. Memang berlaku kegagalan serta ada kesilapan kerajaan, kata Najib ketika berucap di Invest Malaysia 2018.
Dengan pengakuan ini, banyak persoalan timbul dan tidak habis di sini saja.
Jika sudah diakui gagal, bermakna tidak timbul lagi kononnya isu 1MDB telah dieksploitasi untuk menjatuhkan Perdana Menteri dan mensabotaj ekonomi negara.
Gagal tetap gagal dan sesiapa pun berhak bercakap mengenai entiti kerajaan yang mengalami kegagalan, lebih-lebih lagi dengan beban hutangnya sebanyak lebih RM50 bilion, demi untuk kebaikan bersama serta negara.
Maka, bersediakan Najib memberi kebebasan kepada sesiapa pun membangkitkan isu 1MDB selepas ini, termasuk di Parlimen dan kemudian beliau dengan lapang dada memberikan penjelasan mengenainya?
Soalnya, kenapa baru sekarang beliau mengakui kegagalannya?
Adakah ini suatu pengakuan ikhlas atau satu lagi sandiwara pilihanraya bakal dipentaskan yang memungkinkan akan ada “kambing hitam” sudah sedia untuk dimangsakan bagi menunjukkan keseriusan kerajaan menangani skandal 1MDB?
Bagaimana dengan mereka dipecat, ditangkap dan dipenjara semata-mata kerana membangkitkan kegagalan 1MDB sebelum ini?
Adakah Najib akan meminta maaf kepada mereka?
Meskipun Najib mengakui kerajaan telah mengambil beberapa tindakan seperti menstruktur hutang dan melantik Ahli Lembaga Pengarah baru bagi 1MDB, tidak dapat dinafikan bahawa punca utama kegagalan atau tercetusnya skandal berkaitan syarikat itu ialah berkaitan Artikel 117 dalam M & A 1MDB yang mensyaratkan hanya Perdana Menteri berhak memberi kelulusan kepada sebarang pelaburan atau komitmen kewangannya.
Selepas pengakuan ini, apakah Najib masih bermoral membiarkan dirinya lepas bebas begitu saja?
Jika mungkin ada yang akan “dikambing-hitamkan”, bagaimana dengan Najib sendiri dan Jho Low yang diketahui sebagai perancang utama dalam 1MDB?
Yang lebih penting, bagaimana dengan wang RM2,600 juta yang masuk ke akaun peribadi Najib yang menurut kertas siasatan DOJ ianya adalah bersumberkan daripada dana 1MDB yang diselewengkan serta dicuri?
Begitu juga dengan dana SRC International sebanyak RM42 juta yang turut dimasukkan ke akaun Najib sebagai balasan setelah syarikat itu diberikan pinjaman wang amanah pencen KWAP melalui peranan beliau sebagai Perdana Menteri dan Menteri Kewangan?
Sesudah mengakui gagal dan ada kesilapan dalam 1MDB, adakah semua wang 1MDB yang didakwa dicuri sebagaimana siasatan DOJ yang dianggarkan lebih RM4 biilion keseluruhannya, termasuk yang didakwa masuk ke kantung Najib,  boleh dikira “halalan toyiban” begitu saja?
Mengakui 1MDB sebagai kegagalan dan ada kesilapan tidak sesenangnya melepaskan Najib daripada bertanggungjawab sepenuhnya ke atas skandal yang memburukkan nama Malaysia di seluruh dunia.
Dan sebaik-baiknya untuk memastikan tindakan benar-benar dapat diambil terhadap semua pihak pihak berkaitan skandal 1MDB, pengakuan Najib ini adalah “lesen sah” untuk pengundi dan rakyat terus membulatkan hati serta tekad menumbangkan UMNO dan BN dalam pilihanraya akan datang.

Hanya perubahan kerajaan menjamin skandal 1MDB dapat dibersihkan.

– http://shahbudindotcom.blogspot.my/

.