1MDB, DERMA RM2.6 BILION ‘IBU SEGALA ISU’ 2016

TAHUN 2016 telah mencoret pelbagai kisah menarik dalam kamus politik negara, bagi mengimbau semula kejadian peristiwa ‘gempak’ yang berlaku dalam arena politik tanah air, Sinar Online akan menampilkan empat pandangan penganalisis politik tersohor tanah air berkenaan peristiwa menarik yang berlaku pada tahun ini sehingga memberi kesan kepada landskap politik negara.

Menurut pandangan, Pensyarah kanan Fakulti Sains Sosial, Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), Dr Jeniri Amir berkata, isu kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, isu membabitkan soal 1MDB dan derma RM2.6 bilion bagi beliau ‘ibu kepada segala isu’ pada tahun ini.

“Ianya telah mencorakkan landskap politik Malaysia dalam satu, dua tahun yang lepas,” katanya kepada Sinar Online.

Katanya lagi, permulaan politik Umno yang bermula baik namun tercetusnya konflik, sehingga tertubuhnya parti baharu kerana ada sesetengah pemimpin tertingginya dipecat telah turut mengheret polemik baharu dalam kancah politik tanah air.

“Pergeseran ini telah memberi kesan yang amat mendalam dan berpanjangan dan berlarutan dalam jangka masa yang lama, dan pada saya ianya tidak akan selesai pada waktu terdekat sehinggalah pada pilihan raya akan datang, dan akan berterusan selepas pilihan raya selagi Najib masih ‘ada di situ’ kerana pembangkang DAP dan Bersatu akan terus mengasak kepimpinannya.

“Dalam pada itu pendekatan berlainan Pas, sejak Datuk Seri Abdul Hadi Awang menerajui Pas terus menarik perhatian, kita akan melihat sebenarnya bagaimana pergerakan pembangkang dalam pilihan raya akan datang,” katanya.

Katanya lagi, pendekatan politik Pas kini akan menjadi ‘penentu’ nasib Umno pada keseluruhannya.

“Sekiranya Pas tidak bersedia bekerjasama dengan Pakatan Harapan, ia akan menguntungkan BN, dan saya amat percaya kalau itu berlaku dan Sabah, Sarawak terus dokong BN, percayalah Najib dan BN akan terus berkuasa kerana sekarang Parti Amanah tidak kuat dan Bersatu tidak nampak taringnya, jadi ianya bergantung kepada bagaimana Bersatu, Pas akan  gembleng tenaga untuk  menentang BN namun berdasarkan senario sekarang tidak banyak perkara mengejutkan yang akan berlaku,” katanya.

Sementara itu menurut, Pensyarah Pusat Pengajian Antarabangsa Kolej Undang-undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia, Prof Madya Dr Mohd Azizuddin Mohd Sani berpendapat penyingkiran Datuk Seri Mukhriz Mahathir sebagai Menteri Besar Kedah; Penubuhan Parti Bumiputera Bersatu Malaysia dan masalah dalaman Umno sehingga menyebabkan berlakunya krisis kepimpinan dan akhirnya membawa kepada penyingkiran beberapa pemimpin kanan parti itu antara yang mencuri tumpuan pada tahun ini.

“Kalau Pas lebih kepada kegagalan mereka menunaikan janji untuk merealisasikan Akta 355, perpecahan Pakatan Pembangkang turut mengheret perubahan kepada landskap politik negara,” katanya.

Manakala menurut Pensyarah Kanan Hal Ehwal Politik dan Antarabangsa, Pusat Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Md Shukri Shuib pula turut bersependapat dengan Dr Jeniri iaitu membabitkan isu 1MDB.

“Isu 1MDB dan juga soal dana politik menjadi fokus isu yang menyumbang kepada timbulnya pelbagai persepsi dan juga menyebabkan pergolakan politik,” katanya.

Ujarnya lagi, dengan wujudnya isu itu, ia menjadi pokok penyebab kepada permasalahan yang wujud.

“Persepsi rakyat menjadi pudar pada kerajaan hinggakan ke tahap berlakunya pergolakan dalaman Umno dan keretakan hubungan antara pemimpin utama negara juga berlaku disebabkan isu itu. Dan ianya menjadi dilema rakyat dan juga pemimpin termasuk mengeruhkan hubungan pemimpin negara dengan negarawan dan pemimpin veteran,” katanya lagi.

Katanya, ianya juga telah menyebabkan istana diheret dalam permasalahan ini.

“Jadi, landskap keyakinan dan kestabilan negara berubah disebabkan isu itu,” katanya.

Dalam pada itu, katanya perpecahan Pas selepas kematian Allahyarham Datuk Seri Nik Abul Aziz Nik Mat menunjukkan bahawa Pas juga tidak terlepas daripada pergolakan.

“Perpecahan akibat dari dua idealisme berbeza, satu kelompok cuba mengekalkan Pas dalam acuan sebenar perjuangan yang dipegang mereka, dan satu lagi mahu Pas bersama DAP dalam Pakatan. Jadi wujud dua kelompok saling bercakaran dan cubaan kelompok yang dilihat pro kerjasama dengan DAP yang mahu menguasai pucuk kepimpinan Pas gagal apabila tewas dalam pemilihan parti hingga menubuhkan Amanah,” katanya.

Mengulas lanjut, Md Shukri berkata ini menunjukkan bahawa kedudukan Pas sebagai wadah perjuangan Islam tidak lari dari pengaruh duniawi yang juga mengejar kedudukan dan kuasa.     “Penyertaan Pas dalam Pakatan dengan tahaluf syiasi mereka nyata gagal dan memudaratkan Pas hingga berlaku perpecahan di kalangan pemimpin dan ahli. Kita mengandaikan bahawa Pas mengalami situasi ini kerana penyertaan mereka dalam politik Pakatan antara DAP dan PKR yang nyata berbeza ideologi serta pegangan,” katanya lagi.

Oleh itu, ujarnya perpecahan dalaman Pas perlu menjadi medan muhasabah kepada pemimpin dan ahli akar umbinya supaya tidak ghairah untuk mendapatkan kuasa dengan agenda hendak ke Putrajaya hingga menjadikan perjuangan kuasa lebih utama daripada perjuangan Islam.

Dan menurut Penganalisis politik Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Madya Dr Sivamurugan Pandi berkata, peristiwa musuh tradisi menjabat tangan antara yang penting pada tahun ini.

“Paling penting peristiwa Tun Dr Mahathir Mohamad pergi ke mahkamah menjabat tangan dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim, ramai yang tak menjangkakannya, ianya di luar jangkaan.

Katanya lagi, kehadiran Mahathir dalam Perhimpunan Konvensyen DAP, dan pada masa yang sama Najib dan Hadi sepentas dalam himpunan Rohingya, serta penubuhan Parti Bersatu dan Warisan telah mencorakkan apa yang kita lihat sepanjang tahun ini.

– Sinar Harian

.