1MDB DAKWA HUTANG IPIC DIBAYAR PADA AABAR BVI, KATA KHALID IBRAHIM

JALAN cerita hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang memang sudah berselirat berubah lagi.

Bekas menteri besar Selangor Abdul Khalid Ibrahim hari ini berkata Presiden 1MDB Arul Kanda Kandasamy dalam taklimatnya mendedahkan syarikat pelaburan itu tidak membayar balik hutang kepada Internation Petroleum Investment Co. (IPIC) milik Abu Dhabi kerana ia sudah dibayar kepada anak syarikatnya, Aabar BVI.

“Penyelesaiannya kepada IPIC tidak dikuatkuasakan kerana 1MDB sudah bayar Aabar BVI, sebuah anak syarikat milik penuh IPIC. Bagaimanapun, pembayaran itu tidak dipindahkan ke syarikat induk.

“Mujur 1MDB dapat buktikan perjanjian antara dua pihak itu dan urusan pemindahan sedang dibuat,” tulis Khalid pada catatan yang dibuatnya semasa taklimat kepada ahli Parlimen PAS pada Selasa.

Khalid, ahli Parlimen bebas Bandar Tun Razak dijemput hadir ke majlis taklimat itu yang diadakan di Kuala Lumpur.

IPIC dan anak syarikatnya Aabar Investment PJS dalam satu kenyataan bersama pada April 2016 menyatakan syarikat BVI dengan nama hampir sama, Aabar Investment PJS Ltd, “bukannya sebuah entiti dalam mana-mana salah satu kumpulan korporatnya”.

Ia juga menyatakan tidak pernah menerima sebarang duit daripada syarikat BVI, yang sebenarnya sudah digulung pada Jun 2015, dan tidak pula menanggung sebarang liabiliti bagi pihak syarikat itu.

Menteri Kewangan Kedua Johari Abdul Ghani sebelum ini turut mendedahkan adanya sepucuk surat yang mengesahkan Aabar Investment PJS Ltd (BVI) ialah unit di bawah IPIC walaupun syarikat dana pelaburan itu menafikannya.

Khalid bagaimanapun tidak mendedahkan sebab kenapa 1MDB setuju membayar IPIC walaupun berkata wang itu sudah dikirimkan kepada syarikat Aabar BVI.

1MDB diberi masa sehingga 12 Ogos untuk membayar sebahagian hutang berjumlah AS$603 juta (RM2.6 bilion) yang terhutang kepada IPIC. Tempoh masa itu diberikan sebagai syarat lanjutan masa kepada 1MDB untuk melangsaikan bayaran penuh daripada 31 Julai kepada 31 Ogos.

Pada 24 April lalu, 1MDb mencapai persetujuan dengan IPIC untuk membayar hutangnya sebanyak AS$603 juta sebelum 31 Julai. Ia bagaimanapun gagal mematuhi tarikh akhir itu dan kini diberi lanjutan masa sehingga Jumaat ini untuk melunaskan sebahagian daripada hutang tersebut.

Khalid juga menyebut 1MDB dinasihatkan peguamnya untuk tidak mengendahkan tindakan perundangan dimulakan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ) untuk merampas harta diperoleh melalui wang yang didakwa dicuri daripada syarikat pelaburan itu.

– https://www.themalaysianinsight.com

.