11 MEI – DISENGAJAKAN ATAU KEBETULAN?

Hari ini , 11 Mei adalah hari ulangtahun kelahiran UMNO yang ke 71. Kali ini sambutannya diadakan secara besar-besaran di Stadium Bukit Jalil di mana bukan saja ahli seluruh negara diangkut beramai-ramai untuk memeriahkannya, bahkan cabutan bertuah dengan hadiah kereta juga turut diadakan.

Sambutan ulangtahun kali ini diadakan dengan begitu meriah kerana PRU 14 mungkin akan diadakan sebelum hujung tahun ini atau awal tahun depan. Oleh itu, sambutan ulangtahun ini adalah medan terakhir untuk UMNO mahu menunjukkan kekuatan sambil memberitahu kononnya ia masih relevan di mata rakyat.

Semakin UMNO menunjuk-nunjuk kononnya ia masih kuat dan relevan, secara tidak langsung bermakna parti itu semakin jauh daripada denyut nadi rakyat.

Jika dalam PRU 14 akan datang, UMNO kalah pilihanraya, bermakna sambutannya ke-71 pada tahun ini adalah yang terakhir ia dirayakan ketika kuasa masih dalam genggaman.

Ekok juga sambutan ulangtahun UMNO ke-71 ini diadakan besar-besaran kerana mana tahu tahun depan tiada lagi sambutan semeriah seperti tahun ini.

Kalau sudah hilang kuasa, tahun depan ketika ulangtahun ke-72 bukan saja tiada lagi sambutan yang meriah dan gah, bahkan pasti tiada lagi hadiah Proton Perdana untuk cabutan bertuah.

Maka itu, biarlah UMNO bermeriah-meriah tahun ini.

Itulah nasib UMNO sempena ulangtahunnya ke-71 ini. Ulangtahun kali ini, walaupun cuba diraikan dengan meriah dan hadiah cabutan bertuah, ia juga berada di antara terus hidup atau menuju rebah.

Selagi UMNO dipimpin oleh Najib Razak dan kerananya Malaysia lebih dikenali sebagai negara kleptokrasi berbanding demokrasi, sepuluh rakyat yang ditanya, mungkin hanya satu dua yang masih mahu menyokongnya.

Pada tarikh 11 Mei juga, Majlis Syura Pas akan mengadakan mesyuaratnya untuk menentukan hubungannya dengan PKR. Sebelum ini Muktamar Pas sudah pun membuat keputusan setuju sebulat suara agar hubungan dengan PKR diputuskan.

Tarikh mesyuarat Majlis Syura ini baru dihebahkan lewat tengahari semalam oleh Menteri Besar Kelantan, Ahmad Yaakob.

Jika esok, Majlis Syura senada pendiriannya dengan keputusan muktamar, bermakna terlerai dan terputuslah hubungan Pas dengan PKR.

Bagaimanapun, sebagaimana yang disebut sebelum ini, Pas Selangor tetap berpendirian untuk kekal dalam kerajaan negeri sehingga pilihanraya akan datang.

Namun, tarikh 11 Mei yang dipilih untuk Majlis Syura Pas membuat keputusan muktamad tentang hubungannya dengan PKR menimbulkan pelbagai persoalan lain kerana bersamaan dengan tarikh ulangtahun UMNO.

Kiranya terlerai hubungan Pas dengan PKR bermula esok melalui keputusan Majlis Syura, dengan sendirinya UMNO akan mendapat dua kegembiraan pada tarikh 11 Mei iaitu merayakan ulangtahun kelahirannya yang ke-71 dan sekaligus bergembira kerana secara tidak langsung merapatkan lagi hubungannya dengan Pas yang kini cukup berpuas hati dengan hanya menjadi “king maker” melalui blok ketiga saja.

Sediakah Pas memberi berita duka kepada UMNO di hari jadinya tahun ini dengan hubungannya bersama PKR tidak jadi diputuskan?

Adakah pemilihan tarikh 11 Mei untuk Majlis Syura bermesyuarat ini disengajakan atau sekadar kebetulan?

– http://shahbudindotcom.blogspot.my

.