10 JAM RICHARD RIOT DI SPRM

Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Richard Riot Jaem menghabiskan masa selama kira-kira 10 jam di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini.

Tiba kira-kira jam 10 pagi tadi, anggota parlimen Serian, Sarawak itu keluar dari pejabat agensi antirasuah berkenaan kira-kira jam 8 malam tadi.

Beliau mengadakan pertemuan dengan SPRM dipercayai bagi membantu siasatan ke atas Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran (PTPK).

Semalam, setiausaha politik Riot direman enam hari oleh SPRM bagi membantu siasatan berhubung dakwaan penyelewengan dana kerajaan berjumlah RM40 juta.

Ditanya media yang menunggu di Ibu Pejabat SPRM itu, Riot tidak banyak memberi kenyataan.

“Saya datang untuk membantu siasatan SPRM,” katanya.

Ditanya sama ada beliau menyerahkan sebarang dokumen kepada penyiasat, Riot menafikannya.

Sebaliknya ahli politik berusia 65 tahun itu berkata beliau datang dengan tangan kosong.

Diminta menjelaskan mengapa begitu lama beliau berada di SPM, Timbalan Presiden Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) itu sekadar menjawab: “Biasalah.”

Sebelum ini, empat individu termasuk ketua eksekutif PTPK bergelar Datuk ditahan sebelum dibebaskan dengan jaminan. Mereka direman sejak 14 September lalu.

Kes itu dikatakan ada berkaitan dengan penangkapan empat individu termasuk Ketua Pemuda Umno Bagan Datuk, Perak, yang juga ketua pegawai eksekutif GLC tersebut.

Riot sebelum ini berikrar bahawa kementeriannya akan bekerjasama sepenuhnya dengan SPRM dalam perkara itu, dan mengingatkan bahawa seseorang itu tidak bersalah sehingga dibuktikan.

– M’kini

.